Ketua Menteri sumbang RM90,000 bagi projek pulihara Makam Dato Koyah

Admin

GEORGE TOWN – Kerajaan Negeri menyokong sepenuhnya usaha-usaha dilaksanakan Persatuan Warisan Dato Koyah dalam memastikan Pulau Pinang kekal sebagai sebuah negeri yang kukuh teras perpaduannya.

 

Berasaskan pendekatan berkaitan, Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow sebentar tadi mengumumkan sumbangan dana berjumlah RM90,000 bagi memulihara makam Dato Koyah.

 

“Baru-baru ini juga, pejabat pusat khidmat saya telah meluluskan dana khas untuk memulakan kerja-kerja penyelenggaraan dan pembaikpulihan Makam Dato Koyah.  

 

“Persatuan Warisan Dato Koyah akan bekerjasama dengan pakar-pakar dari Thinkcity Sdn. Bhd., George Town World Heritage Incorparated (GTWHI) dan Jabatan Warisan Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) untuk menyelesaikan isu-isu berkaitan bagi  membaik pulih bangunan Makam Dato Koyah dalam memastikan monumen ini menjadi satu tarikan.

 

“Malah, saya juga ingin memuji usaha gigih Persatuan Warisan Dato Koyah dalam memulihara serta memelihara makam ulama tersohor yang telah diiktiraf status warisan UNESCO Kategori Satu dan juga memperoleh pengiktirafan Anugerah Kehormat Juri Kategori Konservasi, Penambahbaikan dan Adaptasi serta Kategori Program Dana Aktiviti Warisan dan Kebudayaan awal tahun ini,” ujarnya pada Majlis Makan Malam Amal Anjuran Persatuan Warisan Dato Koyah dekat Jalan Transfer di sini tadi.

Hadir sama, Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri, Teh Lai Heng; Presiden Persatuan Warisan Dato Koyah, Dr. Abdul Rashid S.M. Masooth; Presiden Liga Muslim Pulau Pinang, Datuk Haja Najmudeen Kader dan Presiden Central Muslim Society (CMS) Hassan Othman.

 

Kon Yeow yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Kota menyatakan bahawa Kerajaan Negeri amat menghargai peranan dan segala bentuk usaha dilaksanakan persatuan serta badan-badan bukan kerajaan (NGO) yang mana komitmen serta khidmat sokongan secara berterusan diberikan kepada kumpulan sasaran.

 

 

“Dalam menjayakan aspirasi Visi Penang2030: Negeri Pintar dan Hijau Berteraskan Keluarga Inspirasi Negara, jalinan kerjasama erat ini diharap akan terus diperkasakan kerana ia adalah antara kunci keharmonian rakyat dan negeri yang dikecapi selama ini.

 

“Segala dasar serta perancangan pembangunan rakyat dan negeri tidak dapat dilaksanakan sendirian tanpa penyertaan serta penglibatan setiap daripada anda,” serunya.

 

 

Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI

Gambar : DARWINA MOHD. DAUD