Ketua Menteri terima kunjungan hormat perpisahan Pengarah JKNPP

GEORGE TOWN – Usaha untuk menambah baik kemudahan COVID-19 di hospital-hospital awam dan pusat kuarantin di negeri ini merupakan antara topik perbincangan ketika kunjungan hormat perpisahan Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang (JKNPP), Dato’ Dr. Asmayani Khalib ke atas Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow.

 

Turut dibincangkan dalam pertemuan di Komtar sebentar tadi adalah persiapan Kompleks Masyarakat Penyayang (KMP) sebagai Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 (PKRC) Berisiko Rendah serta situasi semasa kes-kes COVID-19 di negeri ini.

 

Selain itu, turut diutarakan adalah inisiatif yang boleh dilaksanakan oleh pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Kerajaan Negeri Pulau Pinang bagi mengekang perebakan jangkitan, perkembangan semasa projek pembesaran Hospital Pulau Pinang serta meneroka lebih banyak kerjasama antara awam-swasta bagi perkhidmatan kesihatan pada masa depan.

 

Pada kesempatan itu, Kon Yeow yang mewakili barisan pentadbiran Kerajaan Negeri dan rakyat Pulau Pinang menzahirkan ucapan penghargaan dan terima kasih kepada Asmayani.

 

Sepanjang tempoh itu juga, pelbagai cabaran telah dihadapi dan sedaya upaya memastikan perkhidmatan kesihatan terus terjamin sehingga kini dan saya amat hargai segala sumbangan yang telah dihulurkan oleh pihak Dr. Asmayani termasuk JKNPP.

 

“Tidak dinafikan, JKNPP telah menjadi rakan penting kepada Kerajaan Negeri Pulau Pinang dalam jawatankuasa keselamatan pengurusan COVID-19 dan (Kerajaan Negeri) akan terus bersama-sama JKNPP dalam perang melawan pandemik ini,” ujarnya yang turut berharap agar usaha Asmayani dalam membantu Pulau Pinang melawan wabak pandemik ini dapat diteruskan meskipun telah berpindah ke KKM nanti.

 

Berkongsi perjalanan Kerajaan Negeri dan pihak JKNPP, Kon Yeow akui sepanjang tempoh tersebut, amat sukar apabila segala usaha untuk mencari solusi bagi mengawal perebakan jangkitan ‘disulami’ dengan penyebaran berita palsu.

 

“Kerajaan Negeri dan pihak JKNPP bukan sahaja perlu menangani virus tetapi juga viral sehingga menyebabkan kita sentiasa terpaksa menepisnya dan memastikan maklumat yang sahih disampaikan dengan betul,” katanya sambil mengimbau perjalanan Pulau Pinang berdepan pandemik COVID-19.

 

DR. Asmayani Khalib (kiri) ketika mengadakan kunjungan hormat perpisahan di Komtar petang ini.

Dalam pertemuan itu juga, Asmayani turut menyatakan komitmennya untuk terus menjalinkan hubungan baik dan membantu Pulau Pinang menangani penularan pandemik COVID-19.

 

Asmayani dilantik sebagai Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Perubatan) yang baharu di KKM berkuat kuasa 17 Ogos 2021 dan akan melapor diri pada 23 Ogos 2021. Pelantikan Asmayani adalah bagi menggantikan Datuk Dr. Norhizan Ismail yang telah bersara wajib.

 

Menyorot kembali perjalanan anak jati kelahiran Pulau Pinang ini, beliau dilantik sebagai Pengarah di JKNPP pada bulan Jun 2019 dan pernah berkhidmat sebagai Pengarah di Institut Kanser Negara.

 

Sebelum itu, beliau juga pernah menjawat jawatan sebagai Pengarah di Hospital Kulim dan Ketua Penolong Pengarah Kanan Bahagian Perkembangan Perubahan, KKM serta bertugas di beberapa hospital dan fasiliti kesihatan di Selangor, Perak dan Pahang.

 

Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI
Gambar : ADLEENA RAHAYU AHMAD RADZI