Ketua Menteri terima kunjungan hormat Sunshine PCB, bincang pelaburan RM1.5 bilion di Bertam

Admin
78af19d3 70d2 4941 abae 2e93fe517167 KETUA Menteri (tujuh dari kiri) dengan diiringi Datuk Bandar MBSP (enam dari kiri) saling berjabat tangan dengan Jimmy Fong (lapan dari kiri) seusai sesi kunjungan hormat Sunshine PCB di pejabatnya dekat Komtar sebentar tadi.

GEORGE TOWN – Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow hari ini menerima kunjungan hormat daripada pelabur terkemuka, Sunshine PCB Sdn. Bhd., bagi membincangkan hasrat untuk membina sebuah kilang pembuatan baharu berkaitan papan litar bercetak (PCB) bertaraf antarabangsa yang berteknologi tinggi di Taman Sains Bertam dekat Daerah Seberang Perai Utara (SPU).

Pengurus Besar Sunshine PCB, Jimmy Fang menyatakan kepada Kon Yeow bahawa dengan pelaburan sejumlah RM1.5 bilion bagi fasa pertama daripada tiga fasa projek pembinaan kilang tersebut, ia akan memanfaatkan kira-kira 10.6 ekar daripada keseluruhan pelan tapak yang merangkumi 28 ekar.

“Dengan anggaran jumlah keluasan binaan mencecah 700,000 kaki persegi, pembinaan tidak akan tertumpu kepada satu blok tinggi, sebaliknya diagihkan kepada beberapa pengasingan blok bangunan yang khusus.

“Ini termasuklah sebuah kilang produksi tiga tingkat, pejabat pengurusan (4), gudang (3) serta loji rawatan air sisa (3), di samping kemudahan sokongan lain seperti sebuah unit sub-stesen janakuasa.

“Memandangkan pihak Sunshine PCB ada garis masa yang ketat, perancangan rapi telah diatur bermula Jun ini melalui penyerahan permohonan Kebenaran Merancang (kepada Majlis Bandaraya Seberang Perai, MBSP) bagi kerja-kerja tanah.

“Langkah tersebut akan disusuli dengan proses tender dan penetapan kontraktor pada Julai, sebelum majlis pecah tanah yang dijadualkan berlangsung pada Ogos,” ujarnya pada pertemuan di sini pada 8 Jun 2026.

Datuk Bandar MBSP, Dato’ Baderul Amin Abdul Hamid; Timbalan Pengurus Besar Sunshine PCB, Andrian Yeap; Pengasas firma jururunding, Jurucita Project Sdn. Bhd., Dato Ir. Ng Sin Chie dan beberapa individu lain turut sertai sesi kunjungan hormat tersebut.

Kon Yeow dimaklumkan bahawa Sunshine PCB yakin dengan ekosistem pelaburan yang berdaya saing di negeri Pulau Pinang, serta berharap kerjasama lebih erat dapat dilaksanakan oleh kedua-dua belah pihak pada masa hadapan.

Dalam pada itu, Jimmy Fang memaklumkan bahawa dengan pembukaan kilang berkaitan papan litar bercetak bertaraf antarabangsa berkaitan, ia kelak bakal mencipta peluang pekerjaan berkualiti kepada lebih 80 peratus warganegara dan kurang 20 peratus bukan warganegara sebagaimana dicadangkan oleh Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI).

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : NOOR SITI NABILAH NOORAZIS