Ketua Menteri terima kunjungan Pengarah Kesihatan Negeri baharu, bincang isu kesihatan awam

Admin

GEORGE TOWN – Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow menerima kunjungan Pengarah Kesihatan Negeri Pulau Pinang, Dr. Asmayani Khalib, yang baharu dilantik, di pejabatnya di Komtar pagi ini.

 

Pertemuan selama 30 minit itu turut dihadiri oleh Exco Pertanian & Industri Asas Tani, Pembangunan Luar Bandar dan Kesihatan, Dr. Afif Bahardin serta pegawai pengiring.

 

DR. Asmayani Khalib.

Antara yang dibincangkan pada pertemuan itu ialah cadangan untuk pembangunan dan pengurusan kesihatan awam di negeri ini termasuk memperkemaskan pemeriksaan keselamatan dan kualiti makanan mentah.

 

Turut dibincangkan, pengukuhan perkhidmatan dan kelengkapan perubatan di beberapa hospital utama di negeri ini, antaranya Hospital Kepala Batas, Hospital Seberang Jaya, Hospital Bukit Mertajam, Hospital Sungai Bakap dan Hospital Pulau Pinang.

 

Dalam pertemuan itu, Dr. Asmayani turut berkesempatan menyatakan hasrat untuk terus bekerjasama dengan Kerajaan Negeri Pulau Pinang dalam memastikan aspek kesihatan awam terus diberi tumpuan.

 

Pernah berkhidmat sebagai Pengarah di Institut Kanser Negara sebelum ini, Dr. Asmayani yang juga anak jati Pulau Pinang berharap agar pihaknya (Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang) dapat meningkatkan lagi kesedaran awam mengenai aspek kesihatan di negeri ini.

 

 

Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI
Gambar : ADLEENA RAHAYU AHMAD RADZI