Ketua Menteri ulangi gesaan jimat penggunaan air

Admin

GEORGE TOWN – Operasi pembenihan awan akan terus dilakukan bagi menghasilkan hujan dekat kawasan tadahan air di negeri ini.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata, operasi pembenihan awan adalah penting untuk memastikan bekalan air di negeri ini mencukupi sehingga bulan Mac atau April.

“Sebelum ini, kita menjangkakan bahawa kapasiti air di semua empangan mencapai kadar 100 peratus pada musim hujan iaitu bulan November dan Disember tahun lepas, tetapi ia tidak berlaku kerana hujan tidak banyak turun di kawasan tadahan air sepanjang tempoh itu.

“Oleh itu, kita memasuki tahun baru dengan kapasiti air yang lebih rendah di kedua-dua empangan iaitu Empangan Air Itam (lebih 70 peratus) dan Empangan Teluk Bahang (lebih 50 peratus).

“Oleh kerana perubahan iklim, musim kita patut terima hujan tetapi kita tidak terima.

“Jadi, Mac dan April merupakan bulan yang penting untuk kita terima hujan, dan sekiranya tidak berlaku maka operasi pembenihan awan adalah perlu walaupun ia telah dilakukan beberapa kali sebelum ini,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Majlis Penyampaian Watikah Jawatankuasa Pembangunan Wanita dan Keluarga (JPWK) dekat Dewan RESCAM di sini sebentar tadi.

Hadir sama, Exco Pembangunan Wanita & Keluarga, Keterangkuman Gender dan Agama Selain Islam, Chong Eng; barisan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN); Ahli Parlimen Batu Kawan, P. Kasthuriraani; Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Pembangunan Wanita Pulau Pinang (PWDC), Ong Bee Leng; Ahli-ahli Lembaga Pengarah PWDC serta wakil-wakil Pejabat Daerah dan Tanah.

Mengulas lanjut, Kon Yeow menjelaskan bahawa Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) perlu memainkan peranan dalam memastikan bekalan air dapat dibekalkan secara berterusan kepada pengguna tanpa memerlukan catuan.

“Justeru, kita juga menasihati pengguna agar memainkan peranan melalui penggunaan air secara berhemah di sepanjang musim kering ini,” tegasnya.

Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : NOOR SITI NABILAH NOORAZIS
Video : DARWINA MOHD. DAUD