GEORGE TOWN – Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow mengulangi iltizam politik untuk memastikan Akaun Hasil Disatukan (AHD) mencapai RM1 bilion menjelang akhir pentadbiran beliau.
“Selepas memperketat dan memantau rapi perbelanjaan sejak tahun 2024 dan 2025, kita dapat melihat bahawa ada sedikit harapan ‘di akhir terowong’.
“Pada tahun 2026 atau mungkin 2027, kita optimis dapat memperbaiki kewangan kita dan saya masih berpegang kepada janji bahawa apabila saya tamat perkhidmatan nanti, saya perlu memastikan RM1 bilion berada dalam Akaun Hasil Disatukan (AHD) negeri,” ujarnya ketika menjawab soalan tambahan daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kebun Bunga, Lee Boon Heng.
Beliau berkata demikian dalam sesi Soalan Lisan sempena Mesyuarat Kedua Penggal Ketiga Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang ke-15 di sini pada 20 November 2025.
Sebelum itu, Kon Yeow turut menjelaskan mengenai sembilan tumpuan utama yang diberikan oleh Kerajaan Negeri Pulau Pinang bagi meningkatkan hasil negeri.
Menurut beliau, strategi yang dirangka itu memberikan penekanan kepada beberapa aspek termasuk penyelarasan dasar hasil, pemantapan mekanisme kutipan dan kecekapan pengurusan kewangan.
“Selain itu, Kerajaan Negeri juga melaksanakan pelbagai usaha penambahbaikan secara berterusan termasuk memperkukuh sistem pemantauan kutipan hasil melalui pendigitalan dan integrasi data kewangan negeri.
“Seterusnya adalah menambah baik proses kutipan tunggakan serta mengoptimumkan aset milik negeri bagi menjana pulangan tambahan.
“Selain itu, Kerajaan Negeri juga berusaha meneroka sumber baharu yang berpotensi seperti tenaga boleh baharu, fi perkhidmatan baharu dan kerjasama strategik dengan agensi yang berkaitan.
“Usaha ini dijalankan secara berfasa bagi memastikan pertumbuhan hasil negeri dapat dicapai secara mampan dan tidak membebankan rakyat,” jelasnya yang juga ADUN Padang Kota.
Menyentuh mengenai laporan media berkaitan rampasan tanah rakyat sebagai strategi meningkatkan hasil, Kon Yeow menegaskan bahawa tindakan itu merupakan pilihan terakhir Kerajaan Negeri atas kegagalan pemiliknya membayar tunggakan cukai tanah.
“Kita juga ingin tahu mengapa orang (pemilik tanah) tidak mahu membayar tunggakan sehingga tanah mereka dilucuthakkan.
“Kerajaan Negeri bukan bertindak zalim dengan merampas tanah rakyat kerana tindakan ini merupakan pilihan terakhir yang kita perlu ambil,” tegasnya.
Menjawab soalan tambahan daripada ADUN Pinang Tunggal, Bukhori Ghazali mengenai keperluan penubuhan anak syarikat baharu untuk menjana lebih banyak hasil dan pelaburan, Kon Yeow menyatakan bahawa perkara itu tidak perlu mendangkan Pulau Pinang sudah mempunyai syarikat berkaitan kerajaan (GLC) yang berfungsi dengan baik.
“Kita sudah ada cukup banyak GLC yang boleh memainkan fungsi sedemikian seperti Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC), InvestPenang (IP) dan Perbadanan Ketua Menteri (CMI),” katanya.
Oleh: SUNARTI YUSOFF
Gambar: NOOR SITI NABILAH NOORAZIS
Video: SITI NURATIKAH RAHMAT