BAYAN LEPAS — Kerajaan Negeri menyumbang RM50,000 bagi membiayai sebahagian dana pembelian bot kebombaan sempena Majlis Perasmian Balai Persatuan Bomba Sukarela (PBS) Sungai Kluang Unit Marin di Hilir Sungai Kluang 4, di sini hari ini.
Sumbangan tersebut diumumkan Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow bagi menyokong inisiatif PBS Sungai Kluang dalam memperkasa keupayaan operasi penyelamatan di kawasan perairan negeri.
“Kerajaan Negeri pun tidak boleh ketinggalan, jadi mengambil kesempatan ini, saya mengumumkan sumbangan Kerajaan Negeri sebanyak RM50,000 bagi membiayai sebahagian dana untuk membeli bot kebombaan,” katanya bersempena majlis berkenaan pada 9 Ogos 2026.
Kon Yeow yang juga Exco Kewangan, Pembangunan Ekonomi & Tanah dan Komunikasi menyifatkan perasmian balai baharu itu bukan sekadar sebuah kemudahan fizikal, malah menjadi simbol kekuatan komuniti yang terlatih dan bersedia sebagai barisan hadapan ketika berlaku sebarang insiden kecemasan.
“Kewujudan Unit Marin ini amat bertepatan dengan geografi Pulau Pinang yang dikelilingi kawasan pesisir, komuniti nelayan serta pelbagai aktiviti ekonomi dan pelancongan maritim.
“Keupayaan menyelamat di air bukan sekadar kepakaran tambahan, tetapi merupakan sebahagian daripada ekosistem kesiapsiagaan bencana yang perlu terus diperkukuh,” ujar Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Kota merangkap Ahli Parlimen Batu Kawan itu.
Beliau menambah, Kerajaan Negeri hari ini sebenarnya turut memberikan kelulusan tapak melalui Lesen Pendudukan Sementara (TOL) khusus bagi membolehkan PBS Sungai Kluang membina dan merealisasikan pusat operasi Unit Marin berkenaan.
Dalam majlis tersebut, Kon Yeow menzahirkan rasa bangga terhadap semangat perkhidmatan PBS Sungai Kluang yang bukan sahaja berkhidmat untuk kawasan setempat, malah kerap terlibat dalam operasi kecemasan dan bantuan kemanusiaan di luar sempadan Pulau Pinang.
Mengulas mengenai risiko cabaran alam sekitar semasa seperti perubahan iklim dan cuaca ekstrem, beliau menegaskan bahawa keutamaan penyertaan aktif masyarakat dan bukannya bergantung kepada agensi kerajaan semata-mata. Kerjasama erat antara Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), PBS serta penduduk tempatan menjadi kunci utama kepada sistem tindak balas kecemasan yang pantas.
Sehubungan itu, beliau berharap balai baharu itu dapat dimanfaatkan sepenuhnya sebagai pusat latihan dan pembinaan modal insan bagi menarik minat generasi muda dalam bidang kesukarelawanan maritim, sejajar dengan aspirasi Visi Penang2030 untuk mewujudkan negeri yang selamat, berdaya tahan dan inklusif.
Turut hadir menyaksikan majlis perasmian tersebut ialah Exco Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar & Desa merangkap ADUN Jawi, Jason H’ng Mooi Lye; wakil Pengarah JBPM Negeri Pulau Pinang, Ahmad Nazri Zakariah; Penasihat PBS Sungai Kluang, Liew Kuai Sang; dan Pengerusi PBS Sungai Kluang, Teoh Chuang Piau.
Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : ADLEENA RAHAYU AHMAD RADZI
Video : SIEW CHIA EN