Ketua Menteri umum sumbangan tambahan RM20,000 kepada Pertubuhan Mukkulathor Pulau Pinang

PADANG KOTA – Kerajaan Negeri Pulau Pinang hari ini menyumbangkan sejumlah RM20,000 tambahan kepada Pertubuhan Mukkulathor Pulau Pinang untuk kos memulakan operasi pejabat baharu milik pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berkaitan.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata bahawa sumbangan tersebut adalah sebagai tanda sokongan Kerajaan Negeri terhadap usaha Pertubuhan Mukkulathor Pulau Pinang dalam menjalankan pelbagai aktiviti yang bermanfaat kepada komuniti India di negeri ini.

Beliau berkata, sumbangan tersebut adalah tambahan kepada jumlah RM20,000 untuk menampung kerja-kerja menaik taraf pejabat baharu milik pertubuhan berkaitan yang diberikan sebelum ini.

Ketua Menteri bersama barisan pimpinan Pertubuhan Mukkulathor Pulau Pinang selepas selesai merasmikan pejabat baharu milik pertubuhan itu sebentar tadi.

“Visi penubuhan pertubuhan ini adalah untuk membolehkan masyarakat India mendapat manfaat dan kebajikan mereka senantiasa dijaga dengan baik melalui pelbagai aktiviti yang dijalankan oleh pihak persatuan.

“Kita sememangnya tidak boleh menafikan bahawa kewujudan serta kelangsungan sesebuah persatuan adalah amat bergantung kepada kerjasama dan sokongan yang diberikan oleh ahli-ahli.

“Akan tetapi, Pertubuhan Mukkulathor Sangam Pulau Pinang bukan sahaja berperanan menjaga kebajikan ahli-ahlinya, malah turut menganjurkan pelbagai aktiviti untuk komuniti India di negeri ini seperti majlis amal untuk kanak-kanak kurang bernasib baik di pusat jagaan Ramakrishna Ashrama dan The Children’s Protection Society,” ujar beliau semasa merasmikan pejabat baharu pertubuhan berkenaan dekat Kompleks Jalan Kedah di sini sebentar tadi.

Turut hadir, Presiden Majlis Mukkulathor Malaysia, S. Kannu; Pengerusi Mukkulathor Sangam Pulau Pinang, Raman serta ahli-ahli Pertubuhan Mukkulathor Pulau Pinang.

Dalam pada itu, Kon Yeow berkata bahawa Kerajaan Negeri akan terus memberikan sokongan kepada mana-mana NGO yang menjalankan program demi manfaat komuniti di negeri ini.

“Pulau Pinang bertuah kerana menjadi negeri dengan bilangan NGO paling banyak di negara ini iaitu lebih daripada 1,000 pertubuhan yang sentiasa bersama-sama dengan Kerajaan Negeri sehingga membolehkan kita mencapai pelbagai kejayaan.

“Adalah sangat menggembirakan apabila menyaksikan di Pulau Pinang terdapat banyak NGO yang terdiri daripada Melayu, Cina dan India memainkan peranan masing-masing dalam membantu golongan kurang bernasib baik serta memerlukan untuk mengatasi kesukaran hidup golongan berkaitan khasnya dalam tempoh penularan pandemik COVID-19,” katanya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Kota merangkap Ahli Parlimen Tanjong.

Difahamkan, pejabat baharu milik Persatuan Mukkulathor Pulau Pinang yang beroperasi di Tingkat 1, Kompleks Jalan Kedah dekat sini adalah dibeli daripada Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC).

Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : CHAN KOK KUAN
Video : DARWINA MOHD. DAUD