Ketua Menteri zahir hasrat Pulau Pinang layak ke Liga Super bagi musim 2021

Admin

DATUK KERAMAT – Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow menzahirkan hasrat meletakkan sasaran kepada pasukan bola sepak Pulau Pinang untuk layak ke Liga Super bagi saingan Liga Malaysia musim 2021.

Intipati tersebut diucapkan beliau sebelum bermulanya Perlawanan Persahabatan Bola Sepak Antara Pasukan Sports For All (Kerajaan Negeri) dan Penang Press Club (media) di Stadium Bandaraya dekat sini malam ini.

“Sebenarnya, di bawah pimpinan Dr. Amar Pritpal Abdullah (Presiden Persatuan Bola Sepak Pulau Pinang, FAP), prestasi pasukan bola sepak Pulau Pinang amat memberangsangkan.

“Kita menghadapi pelbagai masalah dan cabaran dalam persatuan  serta pasukan, tetapi dengan kegigihan Dr. Amar, ahli-ahli persatuan dengan sokongan Exco (Belia dan Sukan), Soon Lip Chee, maka Kerajaan Negeri bersama-sama FAP berjaya menangani isu-isu yang kita hadapi.

“Musim baru (Liga Malaysia) akan mula dan kita (Kerajaan Negeri) akan bincang dengan persatuan (FAP) tentang bagaimana kita akan hadapi musim baharu dengan sasaran untuk layak ke Liga Super (tahun 2021),” ujarnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Kota.

Turut memeriahkan perlawanan, ADUN Air Itam, Joseph Ng Soon Siang; ADUN Pengkalan Kota, Daniel Gooi Zi Sen; ADUN Bukit Tambun, Goh Choon Aik; ADUN Batu Lancang, Ong Ah Teong ; ADUN Batu Uban, A. Kumaresan; ADUN Machang Bubuk, Lee Khai Loon dan Presiden Penang Press Club, Wong Soon Eng.

Pada perlawanan tersebut, Kon Yeow berjaya menjaringkan satu gol pada separuh masa kedua melalui sepakan penalti.

Keputusan perlawanan menyaksikan kedu-dua pasukan terikat 2-2 dan satu lagi gol Sports For All dijaringkan oleh Amar Pritpal juga melalui sepakan penalti.

Dua gol pasukan Penang Press Club pula dijaringkan pada separuh masa pertama.

Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI

Gambar & Video : CHAN KOK KUAN