Ketua Menteri zahir penghargaan kepada pasukan sokongan semasa gangguan bekalan air

Admin
img 20240115 wa0031

GEORGE TOWN – Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow menzahirkan penghargaan kepada operator-operator air dari enam negeri yang telah menyalurkan bantuan sepanjang tempoh gangguan bekalan air berjadual di negeri ini pada 10 hingga 14 Januari lalu.

Kesemua operator yang terlibat iaitu dari Selangor, Pahang, Negeri Sembilan, Perak, Kedah dan Melaka secara keseluruhannya telah membekalkan sebanyak 18 unit tangki bagi membantu mengagihkan air di semua kawasan yang terjejas sepanjang tempoh tersebut.

img 20240115 wa0038

img 20240115 wa0039

img 20240115 wa0036

img 20240115 wa0033

img 20240115 wa0035

img 20240115 wa0032

“Bagi pihak Kerajaan Negeri dan Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP), saya merakamkan penghargaan terutamanya kepada semua petugas yang mengoperasikan lori tangki untuk menyalurkan air kepada pengguna-pengguna terjejas dalam tempoh gangguan bekalan air.

“Pada hari ini, kita bersama-sama di sini bagi menghargai komitmen lori-lori tangki air terbesar yang terlibat sepanjang tempoh berkenaan.

“Ia mencatatkan sejarah tersendiri kerana melibatkan unit tangki terbesar dan terbanyak pernah digunakan serta dikumpulkan dalam sesebuah operasi sehingga kini, meliputi 27 tangki Jumbo yang boleh menyimpan sehingga 40,000 liter air terawat,” katanya pada Majlis Penghargaan Kepada Pasukan Sokongan Lori-lori Tangki dekat Padang Kota Lama, di sini sebentar.

Hadir sama, Exco Pengangkutan, Infrastruktur dan Digital, Zairil Khir Johari; Exco Kerajaan Tempatan, Pembangunan Bandar & Desa, Jason H’ng Mooi Lye; Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Rosli Isa; Datuk Bandar Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), Dato’ Ir. A. Rajendran serta Ketua Pegawai Eksekutif PBAPP, Ir. K. Pathmanathan.

Dalam pada itu, Kon Yeow juga memaklumkan bahawa selain operator air dari negeri-negeri terbabit, sebanyak 84 unit tangki lagi dibekalkan termasuk melalui sewaan khas oleh Kerajaan Negeri (27), Pasukan Bomba Sukarela (PBS, 34), MBPP (8), Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP, 7) dan PBAPP (8).

“Mengambil kesempatan ini juga, saya sekali lagi ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada pihak-pihak terlibat atas kerjasama dan sokongan yang diberikan termasuk Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negera (SPAN), barisan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) serta Ahli-ahli Parlimen,” ujarnya.

Sementara itu, Pathmanathan turut menyampaikan penghargaan kepada 1,300 kakitangan PBAPP yang terlibat terutamanya yang bekerja di tapak atas kerja keras dan komitmen berterusan yang ditunjukkan.

“PBAPP berterima kasih kepada (Y.A.B.) Tuan Chow Kon Yeow kerana berdiri bersama kami dan memberikan kepercayaan walaupun ketika “waktu paling gelap”.

“Kami juga ingin merakamkan penghargaan kepada semua kontraktor yang terlibat atas sokongan padu mereka dalam menyelesaikan sesuatu tepat pada masanya.

“Terima kasih juga kepada pihak-pihak yang terlibat termasuk pasukan selam, kru tangki dan rakyat Pulau Pinang khususnya pengguna air terjejas atas pemahaman, kesabaran, sokongan dan kerjasama yang diberikan,” ujarnya.

Terdahulu, seramai 590,000 pengguna di Pulau Pinang terjejas dengan gangguan bekalan air berjadual susulan kerja-kerja penggantian injap 1,200 milimeter di Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Dua dan penyelenggaraan di 22 lokasi lain di negeri ini.

Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : AHMAD ADIL MUHAMAD
Video : ALISSALA THIAN