Ketua Menteri ziarah keluarga Allahyarham polis bantuan JKSB

Admin
KETUA Menteri (baju putih) menyampaikan sumbangan kepada Muhammad Harits Musyiri iaitu anak sulung kepada Allahyarham di kediaman mereka dekat Simpang Ampat di sini pada 15 Jun 2023.

BUKIT TAMBUN – Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow sebentar tadi melawat keluarga seorang anggota polis bantuan Jambatan Kedua Sdn. Bhd. (JKSB) yang maut dalam kemalangan di atas Jambatan Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah pada awal pagi semalam.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Tambun, Goh Choon Aik; Ketua Polis Negeri, Dato’ Khaw Kok Chin dan Ketua Pegawai Eksekutif JKSB, Faisal Shahbudin turut serta menziarahi rumah Allahyarham Musyiri Bakar, 49, di Jalan Tasek Junjong, Tasek, Simpang Ampat dekat sini.

Bercakap kepada pemberita selepas itu, Kon Yeow yang juga ADUN Padang Kota merangkap Ahli Parlimen Batu Kawan menzahirkan ucapan takziah serta menyampaikan sejumlah sumbangan kepada Muhammad Harits, 24, iaitu anak sulung kepada Allahyarham Musyiri.

“(Allahyarham Musyiri) adalah seorang bapa dan seorang suami yang sangat baik kepada keluarganya.

“Jadi, kita memberi sedikit sumbangan sebagai tanda solidariti kepada keluarganya,” jelasnya yang juga Exco Pembangunan Tanah & Ekonomi dan Komunikasi kepada Buletin Mutiara di sini pada 15 Jun 2023.

Di samping itu, beliau berharap pihak majikan dapat menguruskan beberapa bentuk wajar lain kepada keluarga Musyiri.

Difahamkan, Musyiri meninggal dunia akibat kemalangan sewaktu membantu sebuah kereta yang rosak di tepi jalan di KM11.6 dari arah Batu Kawan menghala ke Batu Maung.

Kereta yang sedang menerima bantuan khidmat Musyiri dirempuh sebuah lori dari belakang, kemudian jasadnya melambung sebelum dilanggar sebuah motosikal di laluan khas motosikal.

Allahyarham Musyiri meninggalkan seorang balu dan tiga anak berusia 24, 19 dan 12 tahun.

MUHAMMAD Harits Musyiri

Muhammad Harits yang ditemui kemudian dalam nada hiba berkata bahawa beliau akan menggalas tanggungjawab mengejutkan adik-adik untuk solat Subuh pada awal waktu.

“Saya tengah kerja (kilang), agak lambat juga dapat tahu kerana telefon pintar tidak berada bersama saya.

“Selepas dapat tahu ayah sudah tiada, seluruh badan berasa lemah, nak hidupkan motosikal pun tak boleh.

“Sehari sebelum itu, ayah seperti biasa setiap hari kejutkan untuk solat Subuh, selepas ini saya akan ambil tanggungjawab ini supaya kami sekeluarga senantiasa ikut pesan ayah (untuk solat Subuh pada awal waktu,” ujarnya sambil merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang menziarahi rumah mereka pada petang tadi.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : MUHAMAD AMIR IRSYAD OMAR