Ketua Polis Pulau Pinang komited beri sepenuh kerjasama dalam usaha banteras jenayah di negeri ini

Admin

GEORGE TOWN – Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow hari ini mengadakan pertemuan bersama-sama Ketua Polis Negeri Pulau Pinang baru dilantik, Datuk T. Narenasagaran di Pejabat Lembaga Wakaf Hindu Pulau Pinang dekat Jalan Macalister.

Pertemuan tertutup selama 40 minit itu turut disertai Timbalan Ketua Menteri II, Prof. Dr. P. Ramasamy; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pulau Tikus, Chris Lee Chun Kit dan M. Satees (ADUN Bagan Dalam).

Turut serta, Ketua Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Polis Pulau Pinang, Datuk Mohamad Anil Shah Abdullah; Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Che Zaimani Che Awang serta beberapa wakil daripada pasukan Polis Diraja (PDRM) Pulau Pinang.

Dalam pertemuan itu, Narenasagaran menyatakan bahawa beliau akan memberi sepenuh kerjasama kepada Ketua Menteri dan Kerajaan Negeri Pulau Pinang dalam usaha membanteras jenayah di negeri ini.

“Isu-isu jenayah yang tular di media sosial merupakan salah satu cabaran yang harus dibendung agar tidak menimbulkan kegusaran dan kucar-kacir dalam kalangan masyarakat.

“Selain itu, isu-isu seperti berjudi, kegiatan gangsterism dan lain-lain jenayah turut menjadi keutamaan pihak polis.

“(Dan) pihak polis akan mengambil tindakan segera sekiranya terdapat maklumat yang wajar daripada masyarakat mengenai apa jua kegiatan jenayah yang mencurigakan,” ujarnya di sini tadi.

Turut dibangkitkan dalam pertemuan itu adalah beberapa isu tempatan dan nasional sohor kini.

Berasal dari Kinta, Perak, Narenasagaran sebelum ini merupakan Timbalan Pengarah Pengurusan (Latihan), Jabatan Pengurusan Bukit Aman.

Malah, beliau turut berkhidmat selama 30 tahun dalam bahagian membabitkan siasatan jenayah.

Difahamkan, lantikan tersebut merupakan yang pertama bagi beliau membabitkan negeri sebelah Utara tanah air.

Narenasagaran dilantik menggantikan Datuk Seri A. Thaiveegan yang bersara wajib baru-baru ini.

Dalam pada itu, Kon Yeow juga mengalu-alukan serta menzahirkan ucapan tahniah atas lantikan Narenasagaran sebagai Ketua Polis Negeri Pulau Pinang yang baru.

Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI
Gambar : LAW SUUN TING