Keunikan patung beruang buatan tangan

Admin

EKORAN penularan pandemic COVID-19 yang menjejaskan sector pelancongan terutamanya daripada segi jumlah kedatangan pelancong antarabangsa ke negara ini, Kerajaan Negeri Pulau Pinang kini memberi tumpuan untuk mempromosikan lebih banyak produk pelancongan tempatan.

Di Pulau Pinang, terdapat pelbagai faktor yang menarik kehadiran pelancong ke negeri ini sama ada dari dalam dan luar negara termasuk makanan, lokasi ekopelancongan, keunikan seni, budaya serta warisan dan tidak terkecuali juga penghasilan produk-produk kraftangan.

Teknik mencantum  patung beruang menggunakan skru bagi membolehkan bahagian tangan dan kaki dapat digerakkan.

Helen’s Handmade Bear yang beroperasi di Jalan Besar, Simpang Ampat dekat Bukit Tambun antara produk kraftangan unik yang berpotensi untuk diketengahkan sebagai salah satu daya tarikan pelancong di negeri ini.

Pengasasnya, Helen Lee ketika ditemui Buletin Mutiara memberitahu bahawa perniagaan patung beruang buatan tangan tersebut dimulakan sejak tahun 2006 sebagai hobi sebelum berkembang menjadi sebuah perniagaan.

Beliau yang dibesarkan di perkampungan nelayan dekat Batu Kawan sangat menggemari kraftangan sejak kecil. Justeru, beliau sering ke pantai untuk mencari pelbagai jenis kulit kerang bagi menghasilkan pelbagai produk kraftangan.

Hobi kepada kerjaya

Daripada sekadar hobi, Helen kemudiaanya melangkah setapak lagi dengan menghasilkan patung beruang buatan tangan sebagai pekerjaan sambilan yang mampu menjana pendapatan.

Beliau yang pernah bekerja sebagai seorang pereka grafik sebelum ini sememangnya mempunyai minat yang mendalam dalam menghasilkan patung beruang buatan tangan.

“Saya mengambil keputusan berhenti kerja untuk membina jenama saya sendiri yang dikenali sebagai “Helen’s Handmade Bear” yang bermaksud semua patung beruang dihasilkan adalah melalui proses buatan tangan.

“Pada tahun 2012, saya mengadakan pameran patung beruang buatan tangan saya yang pertama dekat Batu Ferringhi dan diteruskan setiap tahun sehingga tahun 2016.

“Hasil jualan produk daripada pameran ini akan disumbangkan kepada Pusat Jagaan Pertubuhan Perlindungan Kanak-Kanak Pulau Pinang dan juga Penang Breast Cancer Society bagi membantu lebih ramai golongan memerlukan,” jelasnya.

Sebahagian koleksi yang dihasilkan.

Bercerita lanjut, Helen memberitahu bahawa berbanding produk sama yang ada di pasaran, keistimewaan patung beruang buatan tangan beliau adalah terletak pada fungsi tangan serta kaki patung yang boleh digerakkan.

“Ini kerana, setiap bahagian patung beruang dicantum menggunakan skru selain penggunaan warna, bahan dan reka bentuk yang khas serta dihasilkan dalam pelbagai saiz mengikut permintaan pelanggan.

“Kebiasaannya, patung beruang buatan tangan akan mengambil masa kira-kira tiga hingga empat jam bermula dari proses reka bentuk, padanan warna, jahitan dan cantuman. Jika saya tumpukan sepenuh perhatian, satu hari saya mampu siapkan 10 patung beruang.

“Setakat ini, patung beruang paling sukar yang pernah saya hasilkan adalah bersaiz paling kecil iaitu 1.5 sentimeter (cm),” ujarnya.

Selain sentiasa mempelajari seni kraftangan bagi meningkatkan kemahiran diri, Helen turut mengambil bahagian dalam pameran di Macau pada setiap tahun untuk mempromosikan karya-karyanya.

Diiktiraf MBOR

Patung beruang buatan tangan setinggi sembilan kaki yang diiktiraf Malaysia Book of Records.

Helen memberitahu bahawa patung beruang buatan tangan setinggi sembilan kaki telah berjaya mendapat pengiktirafan dalam Malaysia Book of Records (MBOR) pada 14 Disember 2015, sebagai patung beruang buatan tangan terbesar di negara ini.

“Patung beruang ini dipamerkan dekat pusat membeli-belah Gurney Paragon pada 8 Oktober 2015 bersempena kempen kesedaran mengenai pentingnya pencegahan barah payudara,” ulasnya lagi.

Ditanya mengenai keadaan perniagaan ekoran pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), Helen menyatakan bahawa permintaan terhadap patung buatan tangan beliau juga turut terjejas.

“Beberapa pameran dan aktiviti yang sepatutnya dianjurkan di dalam dan luar negara pada tahun ini terpaksa dibatalkan ekoran penularan COVID-19. Justeru, saya menumpukan perhatian sepenuhnya terhadap perniagaan secara dalam talian.

“Disebabkan COVID-19, saya hanya menghasilkan patung beruang dengan reka bentuk khas dan menjualnya di internet kepada pelanggan tetap kerana tidak ada pelanggan baru sepanjang tempoh ini,” jelasnya.

Walau bagaimanapun, Helen berkata bahawa beliau mempunyai satu impian iaitu untuk mendirikan sebuah muzium bagi mempamerkan semua semua patung beruang yang pernah dihasilkan selain dapat menjadi salah satu daya tarikan pelancong di negeri ini.

Oleh : SUNART YUSOFF

Gambar : NOOR SITI NABILAH NOORAZIS