Kewujudan gelanggang baharu mampu semai minat anak muda terhadap sukan sepak takraw – Exco

TANJUNG BUNGA – Kewujudan lebih banyak gelanggang sepak takraw di peringkat komuniti ianya mampu menyemai semula minat anak-anak muda terhadap sukan tersebut, jelas Exco Kerja Raya Utiliti dan Tebatan Banjir, Zairil Khir Johari.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Gelanggang Sepak Takraw di Straits Green, Tanjung Tokong baru-baru ini.

“Pada suatu ketika dahulu, Tanjung Tokong terkenal dalam melahirkan ramai pemain-pemain sepak takraw legenda yang mengharumkan nama Pulau Pinang.

“Namun pada pemerhatian saya ianya seolah-olah diabaikan oleh generasi hari ini akibat dari kekurangan gelanggang sepak takraw di kawasan ini.

“Justeru, hari ini saya bersyukur apabila dimaklumkan tentang inisiatif syarikat korporat dan pemaju E&O Berhad dalam mewujudkan gelanggang sepak takraw baharu di kawasan Straits Green Untuk kegunaan masyarakat setempat,” ujar beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Bunga.

Turut hadir, Guru Besar Sekolah Kebangsaan (SK) Tanjung Tokong, Mohd. Shukri Din; Pengurus Besar Kanan E&O Berhad, Datuk Zawawi Yusop dan bekas-bekas pemain negeri dan kebangsaan.

Tambah Zairil, usaha-usaha syarikat korporat seperti ini mampu menjadi pentas melahirkan lebih ramai jaguh-jaguh sepak takraw.

“Ini juga tidak mustahil sekiranya pembinaan gelanggang baharu seperti ini mampu mengembalikan era kegemilangan sepak takraw bagi negara kita kelak,” katanya lagi.

Zairil dalam pada itu memuji E&O dalam melaksanakan tanggungjawab sosial korporat terhadap masyarakat setempat dan menyeru syarikat lain agar mencontohinya.

 

Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI

Gambar : ADUN