Keyakinan, sikap optimistik pelabur bantu ‘suburkan’ ekonomi P. Pinang – Kah Choon

BAYAN LEPAS – Pengarah investPenang (iP), Datuk Lee Kah Choon berkata, Broadcom Limited (Broadcom), pembekal utama global bagi pelbagai penyelesaian penyambungan semikonduktor analog dan digital dari Amerika Syarikat merancang melabur sejumlah US$250 juta dalam tempoh 12 bulan akan datang untuk mengembangkan operasinya di Pulau Pinang.

“Syarikat tersebut merancang mengembangkan kapasiti operasi termasuk aktiviti penyelidikan dan pembangunan (R&D), pengenalan produk baharu, pembangunan produk dan ujian kejuruteraan serta rantaian bekalan operasi bagi memenuhi peningkatan permintaan di peringkat global.

“Walaupun Pulau Pinang kini berhadapan dengan era transformasi, penggabungan dan pengambilan syarikatsyarikat bertaraf multinasional (MNC) terkemuka dunia dilihat mampu menjana pengeluaran produk baharu dan produktiviti.

“Saya percaya rancangan pengembangan akan menjadi pemangkin terhadap usaha menarik lebih banyak syarikat berteknologi tinggi ke Pulau Pinang,” katanya pada sidang media mengumumkan hasrat Broadcom di Penang Skills and Development Centre (PSDC) dekat sini baru-baru ini. Hadir sama, Naib Presiden Kanan Broadcom (Operasi Global) yang juga Pengarah Urusan Broadcom (Malaysia) syarikat tersebut, B.C. Ooi dan Pengarah Kewangan Broadcom (Malaysia), Eu Gin Tan. Pada 1 Februari 2016, syarikat Avago Technologies (M) Sdn. Bhd. (Avago) menyelesaikan pengambilalihan Broadcom Corporation untuk US$37 bilion.

Kemudian menjenamakannya semula sebagai Broadcom Limited yang dijangka mempunyai unjuran pendapatan tahunan lebih dari US$15 bilion dengan nilai pasaran sebanyak US$77 bilion.

Dalam pada itu, Ooi memberitahu, Broadcom juga akan melibatkan 175 jurutera dan meningkatkan operasi rantaian bekalan global bagi rancangan pengembangan yang dijangka siap menjelang Disember 2016.

“Malah, gudang di Taman Perindustrian Batu Kawan yang akan dibangunkan tidak lama lagi, dijangka dapat beroperasi sepenuhnya pada pertengahan 2017 dengan tawaran pekerjaan baharu,” jelas Ooi.

Mengulas lanjut, Ooi memberitahu bahawa Broadcom juga berhasrat menghantar produknya ke pasaran global dari Pulau Pinang melibatkan sebahagian daripada hasil syarikat tersebut iaitu US$15 bilion.

Broadcom merupakan peneraju semikonduktor global dengan 50 tahun pengalaman dalam inovasi, usahasama dan kecemerlangan kejuruteraan.