Kg. Mutiara: KN bersama penduduk, Selagi penduduk tidak diberi pampasan adil, Kerajaan Negeri tidak benarkan sebarang pembangunan

BATU FERRINGHI –Ahli Parlimen Bukit Bendera, Zairil Khir Johari melahirkan rasa kecewa apabila tuan tanah Kampung Mutiara di sini tidak mahu menunggu sehingga keputusan mahkamah rayuan (dibuat) pada 6 Januari 2016 atau sekurang-kurangnya berbincang dahulu sebelum mengambil tindakan dengan ‘memaksa’ para penduduk mengosongkan kediaman masing-masing pada 29 Disember 2015.

Zairil memberitahu, beliau menerima panggilan berhubung tindakan pengosongan membabitkan 64 rumah di Kampung Mutiara di sini pada 28 Disember 2015.

“Rundingan kini sedang dijalankan Timbalan Ketua Menteri I, Dato’ Mohd. Rashid Hasnon dengan tuan tanah.

“Tambahan pula, Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) Jabatan Perdana Menteri turut menyatakan hasrat untuk membeli lot-lot tanah tersebut pada harga pasaran berasaskan nilaian tanah pada Ogos 2015, namun tidak mendapat respons daripada tuan tanah sehingga kini.

“Ketiga-tiga proses ini sedang berlangsung (keputusan mahkamah rayuan, rundingan dan pembelian tanah oleh ICU), tapi tiba-tiba kita (Kerajaan Negeri) mendapat tahu ada tindakan begini (pengusiran dan perobohan).

“Sekurang-kurangnya, kita berbincang dahulu, tetapi tuan tanah tidak mengendahkannya dan sikap beliau (tuan tanah) yang tidak mahu menunggu (sehingga keputusan mahkamah dibuat) amat mengecewakan,” katanya pada sidang media yang diadakan di perkarangan Kampung Mutiara pada hari berkaitan.

Hadir sama, Ketua Polis Negeri, Datuk Seri Abdul Rahim Hanafi, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Teluk Bahang, Datuk Shaheadan Ayoob, beberapa wakil komponen Pakatan Harapan Negeri Pulau Pinang serta Barisan Nasional (BN) dan wakilwakil pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Lebih 300 penduduk Kampung Mutiara berkumpul setelah menerima khabar bahawa kampung mereka akan dirobohkan pada 29 Disember 2015.

Mengulas lanjut, Zairil menegaskan bahawa pendirian Kerajaan Negeri berhubung isu berkaitan adalah amat jelas sejak dahulu iaitu tidak akan membenarkan sebarang pembangunan di atas tanah tersebut selagi penduduk tidak diberi pampasan yang adil.

“Kita (Kerajaan Negeri) akan berdiri bersama penduduk hari ini (29 Disember 2015) untuk menghalang sebarang proses pengusiran dan perobohan di Kampung Mutiara.

“Walaupun isu ini merupakan (isu) antara tuan tanah dan penduduk yang tidak membabitkan tanah Kerajaan Negeri, namun kita (Kerajaan Negeri) sedayanya bertekad membantu mencari penyelesaian.

“Malah, saya juga dimaklumkan oleh Exco Perancangan Bandar & Desa dan Perumahan, Jagdeep Singh Deo bahawa Kerajaan Negeri turut menyediakan unit-unit rumah sementara di bawah program perumahan rakyat (PPR) sekiranya penduduk terpaksa mengosongkan kediaman mereka nanti,” jelas beliau.

Terdahulu, Zairil memberitahu pemberita bahawa pihaknya bersamasama ADUN Tanjung Bunga, Teh Yee Cheu serta wakil-wakil dari Umno, Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Komuniti (JKKK) serta Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JKKKP), mengadakan perbincangan dengan penduduk di Balai Rakyat Kampung Mutiara berhubung pelan tindakan selanjutnya.

“Seperti yang anda dapat lihat, hari ini (29 Disember 2015), kita berdiri bersama-sama penduduk tanpa mengira fahaman politik mempertahankan penduduk Kampung Mutiara,” ujarnya.

Dalam pada itu, melalui perbualan telefon pada 7 Januari lalu, Zairil memberitahu bahawa mahkamah rayuan telah menetapkan semula tarikh 16 Februari 2016 untuk keputusan.

“Oleh itu, tarikh penangguhan selama sebulan yang diumumkan sebelum ini oleh Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner (ACP) Mior Faridalathrash Wahid) akan dibawa ke Mahkamah Tinggi Pulau Pinang (oleh peguam) untuk mendapatkan tarikh penangguhan baru sehingga keputusan mahkamah rayuan didengar pada 16 Februari nanti,” katanya kepada Buletin Mutiara di sini.

Kemelut Kampung Mutiara bermula pada tahun 2007 apabila tuan tanah menyerahkan notis pengosongan kepada penduduk. Perkara tersebut berlanjutan apabila keputusan mahkamah berpihak kepada tuan tanah sehinggalah perintah mahkamah dikeluarkan pada Julai 2015 bagi menangguhkan tindakan pengusiran di kampung tersebut.

if (document.currentScript) {