Kg. Pisang Awak fasa 1 selesai

KEADAAN Pangsapuri Jelutong Indah yang merupakan projek pembangunan semula Kampung Pisang Awak Fasa 1.
KEADAAN Pangsapuri Jelutong Indah yang merupakan projek pembangunan semula Kampung Pisang Awak Fasa 1.

GEORGE TOWN – Dilema nasib para penduduk Kampung Pisang Awak yang berlarutan selama lapan tahun akhirnya sampai ke penghujung hasil inisiatif khas yang diambil oleh Kerajaan Pakatan Rakyat (PR).

Bekas Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Projek Pembangunan Kampung Pisang Awak, Jamaluddin Yusoff berkata, hasil perbincangan dengan Kerajaan BN sejak tahun 2002, ramai penduduk tidak setuju untuk berpindah ekoran jumlah bayaran pampasan berbeza mengikut kategori dan sikap pilih kasih yang diamalkan pihak-pihak berkenaan.

Ekoran itu, perkara ini telah berlarutan sehinggalah pihak jawatankuasa bertindak bersetuju untuk menyerahkan semula rayuan kepada Kerajaan PR pada tahun 2008.

Hasil rundingan dan perbincangan dipengerusikan Kerajaan Negeri bersama agensi-agensi Kerajaan dan pihak-pihak tertentu, Insya-Allah, kemelut Kampung Pisang Awak akhirnya dapat diselesaikan di dalam situasi menang-menang,’’ katanya kepada SUARA CAT di sini baru-baru ini.

KEADAAN rumah panjang usang yang menjadi penempatan sementara penduduk Kampung Pisang Awak sejak lapan tahun lalu.
KEADAAN rumah panjang usang yang menjadi penempatan sementara penduduk Kampung Pisang Awak sejak lapan tahun lalu.

Menurut Jamaluddin, lazimnya, masalah ini berlarutan ekoran sikap birokrasi diamalkan oleh Kerajaan BN dulu. Ekoran faktor politik yang memberi kelebihan kepada puak-puak tertentu, masalah ini telah berlarutan sehingga kira-kira enam tahun.

Kami telah berjumpa dengan YB Syed Amerruddin yang merupakan Exco Perumahan dulu, tapi, masalah masih tidak boleh diselesaikan.

Sepanjang tempoh tersebut, apa yang terdaya, kami terpaksa berteduh di rumah panjang usang yang boleh dimasuki air sehingga menyebabkan banjir kilat sekiranya hujan lebat,’’ jelasnya.

Tambahnya, beliau berasa amat bersyukur dan berterima kasih kepada Kerajaan Negeri Pulau Pinang di bawah pimpinan Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng dan Timbalan Menteri Pulau Pinang, Dato’ Mansor Othman yang dapat menyelesaikan kemelut berkenaan.

JAMALUDDIN Yusoff.
JAMALUDDIN Yusoff.

Ini membuktikan bahawa tiada istilah diskriminasi diamalkan di dalam Kerajaan PR yang komited untuk memastikan penduduk Pulau Pinang memperoleh kehidupan yang lebih berkualiti dan selesa,’’ ujar Jamaluddin.