Memartabatkan umat Islam seiring pembangunan negeri – Abdul Malik

SUARA CAT : Hal Ehwal Agama Islam merupakan salah satu portfolio YB, sepanjang tempoh memikul amanah ini, apakah cabaran dan hambatan untuk memikul amanah ini?

ABDUL MALIK : Sejak dari dahulu sehinggalah saya mengambil alih portfolio Hal Ehwal Agama pada Februari 2009, saya merupakan pengkritik utama perjalanan agama Islam di negeri Pulau Pinang. Hal ini kerana saya dilahirkan, bersekolah dan juga berpolitik sejak dari tahun 70-an lagi. Justeru, apabila saya diberikan amanah untuk memegang portfolio ini, cabaran utama saya ialah menjawab segala kritikan serta membetulkan persepsi orang ramai terutama yang beragama Islam terhadap pentadbiran dan perjalanan agama Islam di Pulau Pinang. Untuk pengetahuan, Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) Agama merupakan MMK terbesar kerana di bawahnya terdapat 206 buah masjid dan lebih kurang 900 buah surau di seluruh negeri. Pentadbiran dan perjalanan Hal Ehwal Agama Islam antaranya termasuklah urusan zakat, program-program agama serta program-program peningkatan syiar Islam. Usaha-usaha ini mestilah dilaksanakan dan dijayakan oleh semua pihak termasuk para pegawai di Jabatan Agama Islam Negeri Pulau Pinang (JAIPP). Oleh yang demikian, usaha yang dilakukan, membuat perubahan dan peningkatan pencapaian dalam kalangan kakitangan merupakan tindakan awal apabila saya memegang portfolio ini. Selain itu, pemantapan bagi mengimarahkan fungsi masjid sama seperti zaman Rasulullah SAW turut dijalankan. Masjid merupakan salah satu institusi yang bukan sahaja berfungsi sebagai rumah ibadat malah merupakan tempat untuk mengadakan syura dan menjadi pusat percambahan minda serta pendidikan.

SUARA CAT : Sepanjang memikul amanah MMK Agama ini, apakah usaha-usaha yang telah dan akan dijalankan demi memartabatkan umat Islam di Pulau Pinang?

ABDUL MALIK : Antara perkara pertama yang dilakukan oleh MMK Agama adalah program pengiktirafan kepada haffiz. Dalam program ini, kita turut memberikan pengiktirafan kepada keluarga haffiz, guru-guru haffiz dan juga kepada tokoh-tokoh haffiz. Pulau Pinang merupakan negeri pertama yang menganjurkan program seumpama itu. Pada tahun pertama pelaksanaannya, ia mendapat sambutan yang menggalakkan. Begitu juga pada tahun kedua, kita mengadakan dan memperkembangkan program pengikhtirafan haffiz termasuk program ijtimak. Program sehari ini, yang bertemakan ‘Satu Keluarga, Satu Haffiz’, turut mengupas bakat dan kemampuan haffiz profesional serta haffiz muda di Pulau Pinang. Antara anugerah-anugerah yang diberikan adalah ‘Anugerah Khas al-Haffiz’ , ‘Anugerah Guru al-Haffiz’, ‘Anugerah Keluarga al-Haffiz’ dan ‘Anugerah Haffiz Termuda’. Pada tahun ini, program ini telah diperbesarkan dengan penambahan satu lagi anugerah iaitu Anugerah Tokoh al-Haffiz’. Malah program ini dijalankan selama dua hari dengan mengadakan bengkel pemantapan huffaz dan program bagi memperbanyakkan haffiz di Pulau Pinang.

Usaha-usaha ini diperkemaskan dengan mengadakan seminar sehari pada tahun lalu. Pada tahun ini, sebuah persidangan antarabangsa iaitu Caliph Umar bin Abdul Aziz International Intergrity Conference’ turut diadakan dan seminar ini merupakan salah satu usaha untuk memartabatkan agama Islam melalui peningkatan ciri-ciri universial yang mulia. Selain itu, ciri-ciri tatacara pemerintahan yang baik (good governance), ketelusan (transparency), efektif dan efisien turut diperkenalkan dan ditekan oleh Y.A.B Ketua Menteri dengan merujuk kepada prinsip-prinsip pemerintahan Khalifah Umar Abdul Aziz.

Cara-cara sambutan program-program utama juga telah diubah seperti sambutan Maulidur Rasul, sambutan Maal Hijrah dan Nuzul al-Quran. Pendekatan yang saya gunakan ialah menjadikan program-program tersebut sebagai program yang mempunyai objektif aqidah dan syarie Islami dan bukannya hanya sekadar program budaya’ sahaja. Program Bulan al-Quran yang dijalankan sepanjang bulan Rejab, Syaaban dan Ramadhan, Seminar al-Quran, Ihya al-Quran, Program Celik al-Quran untuk pelajar-pelajar sekolah menengah bersama ibu bapa, Tahsin al-Quran iaitu program yang berteraskan teori dan amali bertalaqqi untuk Pegawai-pegawai Masjid, Forum Perdana Ehwal Islam, bacaan kitab at-Tibyan semasa sambutan Nuzul al-Qurandan ‘shama’il al-muhammadiah’ merupakan sebahagian usaha yang dijalankan oleh para pegawai masjid dengan kerjasama Kerajaan Negeri Pulau Pinang. Perkara ini merupakan sebahagian hasrat Kerajan Pakatan Rakyat ke arah membentuk generasi al-Quran yang unggul yang bersandarkan as-Sunnah Nabi Muhammad SAW.

SUARA CAT : Adakah latar belakang keluarga YB yang bergiat di dalam aktiviti perdagangan memberi kelebihan kepada YB untuk memegang portfolio Perdagangan Dalam Negeri?

ABDUL MALIK : Ketika Kerajaan PR mula mengambil alih pentadbiran Kerajaan Negeri pada tahun 2008, saya telah diberi pilihan sama ada untuk menerajui portfolio Pertanian ataupun Perdagangan Dalam Negeri. Memandangkan pengaruh keluarga saya yang lebih dekat dengan kegiatan perdagangan, maka saya akhirnya lebih selesa dengan Perdagangan Dalam Negeri. Ini ditambah dengan pengalaman saya sejak 1973 hingga 2008 yang ditimba dari industri perumahan, perdagangan, elektrikal dan korporat. Pada peringkat permulaan, saya dimaklumkan bahawa portfolio Perdagangan Dalam Negeri hanya perlu membuat susulan daripada program ataupun projek dilaksanakan oleh Kerajaan Persekutuan. Namun, sebagai anak jati Pulau Pinang, saya merasakan bahawa adalah menjadi tanggungjawab saya untuk mengembalikan Pulau Pinang sebagai sebuah pusat perdagangan utama seperti dahulu kala.

Kita juga telah memulakannya sejak tahun 2008, untuk mengembalikan Pulau Pinang sebagai pusat perdagangan utama serta untuk melihat Pulau Pinang sebagai pusat halal antarabangsa. Saya telah diberi mandat oleh Y.A.B Ketua Menteri sejak Julai 2008 untuk mengendalikan inisiatif halal ini. Selain itu, kita telah memulakan pendekatan untuk meletakkan Pulau Pinang sebagai pusat MICE antarabangsa- Penang as Meeting, Incentives, Conventions and Exhibition (MICE) Center, yang merupakan satu lagi jenama untuk Pulau Pinang seperti di Singapura, Hong Kong dan Bangkok.

SUARA CAT : Apakah cabaran yang dihadapi YB dalam merealisasikan misi untuk meletakkan Pulau Pinang sebagai pusat halal antarabangsa?

ABDUL MALIK : Pulau Pinang memiliki kelebihan aspek geografinya yang strategik. Justeru, saya cuba mengadaptasikan faktor-faktor ini bagi mengembalikan peranan Pulau Pinang sebagai sebuah pusat perdagangan yang penting di peringkat antarabangsa. Kebetulan ketika itu, Y.A.B Ketua Menteri baru pulang dari Forum Halal Dunia dan Malaysia International Halal Showcase (MIHAS), bersamanya, beliau telah membawa satu cabaran baru iaitu untuk memperkembangkan industri halal di Pulau Pinang. Sebelum ini, terdapat sebuah hab halal di Kubang Menerong yang dikelolakan oleh PERDA. Namun, tumpuan yang diberikan hanya terhad kepada perusahaan kecil berkonsepkan Industri Kecil dan Sederhana (SME) seperti perusahaan jus buah-buahan, pembuatan kek dan baulu. Atas keyakinan bahawa Pulau Pinang mampu muncul sebagai hab halal utama dalam negara dan antarabangsa, Y.A.B Ketua Menteri dan saya telah mengambil pendekatan untuk mewujudkan Hab Halal Antarabangsa Pulau Pinang (Penang International Halal Hub – PIHH) bagi mempromosikan jenama Halal Penang di mata dunia. Dalam tempoh yang singkat iaitu pada tahun 2009, PIHH telah berjaya memeterai 19 MoU membabitkan pelbagai agensi termasuk sektor swasta di dalam dan juga luar negara. Apa yang lebih membanggakan, Pulau Pinang juga telah berjaya mewujudkan satu rangkaian komunikasi di antara Penang Port Sdn. Bhd. dan pelabuhan terbesar di dunia, Pelabuhan Rotterdam. Susulan daripada itu, Pelabuhan Pulau Pinang telah diiktiraf sebagai pelabuhan halal kedua terbesar selepas Rotterdam dan yang pertama di Malaysia mendapat status halal. Bagi perancangan masa depan, adalah menjadi matlamat Kerajaan Negeri untuk menjadikan Pulau Pinang sebagai hab pembekalan halal antarabangsa yang mempunyai ekosistem halal yang lengkap.

SUARA CAT : Selain PIHH, apakah fokus tambahan dalam mempergiatkan aktiviti perdagangan di dalam negeri?

ABDUL MALIK : Selain lokasi yang strategik, Pulau Pinang juga dilihat sebagai sebuah negeri yang mampu menawarkan keperluan tenaga mahir kepada para pelabur. Pada tahun 2008, Kerajaan Negeri telah mempromosikan Pulau Pinang sebagai pusat konvensyen bagi penganjuran majlis, mesyuarat, pameran, insentif tempatan (MICE) dan juga bertaraf antarabangsa. Walaupun sektor ini dilihat sebagai sesuatu yang baru, namun, ia wajar diterokai berasaskan kelebihan yang terdapat di negeri Pulau Pinang. Pulau Pinang merupakan sebuah negeri yang boleh dicapai melalui air dan juga udara; merupakan salah satu destinasi pelancongan terkenal; memiliki infrastruktur yang lengkap dan kukuh dalam aspek ekonomi. Pada masa sama, Pulau Pinang juga dikenali sebagai pusat industri elektronik dan elektrikal di dalam peta dunia. Susulan dari itu, sehingga pertengahan tahun 2010, kira-kira 50 majlis dan konvensyen telah dan bakal diadakan di Pulau Pinang. Tidak dinafikan, berbanding Singapura dan Thailand, kita masih jauh ketinggalan. Namun, dengan kelengkapan infrastruktur, Pulau Pinang bersedia untuk menembusi pasaran sedia ada dalam tempoh terdekat. Selain itu, seminar dan latihan turut diadakan bersama Dewan Peniagaan Pulau Pinang serta akan terus mengadakan Program Pameran Perdagangan setiap tahun. Kerajaan Negeri juga turut menggariskan beberapa panduan untuk mempromosi perdagangan dan industri serta membangunkan Industri Kecil dan Sederhana (IKS) ke peringkat global dengan menjadikan Singapura, Dubai dan Hong Kong sebagai penanda aras pembangunan Pulau Pinang.

SUARA CAT : Apakah perancangan YB dalam mempertingkatkan lagi pengurusan hal ehwal pengguna di Pulau Pinang?

ABDUL MALIK : Dalam menangani masalah yang wujud dalam hal ehwal pengguna, ia banyak bergantung kepada kreativiti dan inovasi pelbagai pihak. Pada tahun 2008, kita telah mewujudkan Kumpulan Pemantau Pengguna yang berfungsi sebagai mata dan telinga kepada Kerajaan Negeri berhubung isu kepenggunaan di semua 40 kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN). Lazimnya, kumpulan ini tidak menjalankan kerja-kerja penguatkuasaan sebaliknya mendalami isu-isu yang dihadapi para pengguna dan kemudian mengetengahkannya untuk tindakan lanjut YB kawasan terbabit termasuk aduan kerosakan lampu isyarat, longkang tersumbat dan lain-lain. Bagaimanapun, ekoran tiada komitmen lanjutan daripada pihak-pihak tertentu, inisiatif ini telah dihentikan buat sementara waktu sehingga satu pelan kukuh yang akan dibincangkan kelak.