Peruntukan hal ehwal agama Islam ditambah 100 peratus

AHLI Parlimen Permatang Pauh, Dato’ Seri Utama Anwar Ibrahim (tiga dari kiri) ditemani Exco Hal Ehwal Agama, Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Abdul Malik Abdul Kassim (dua dari kiri) sambil diperhatikan oleh Lim Guan Eng (tiga dari kanan) menyerahkan replika cek kepada wakil masjid pada Majlis Sumbangan Ehya’ Ramadan di Jawi di sini baru-baru ini.
AHLI Parlimen Permatang Pauh, Dato’ Seri Utama Anwar Ibrahim (tiga dari kiri) ditemani Exco Hal Ehwal Agama, Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Abdul Malik Abdul Kassim (dua dari kiri) sambil diperhatikan oleh Lim Guan Eng (tiga dari kanan) menyerahkan replika cek kepada wakil masjid pada Majlis Sumbangan Ehya’ Ramadan di Jawi di sini baru-baru ini.

GEORGE TOWN – Inisiatif kerajaan Pakatan Rakyat (PR) menambah 100 peratus peruntukan hal ehwal agama Islam membuktikan bahawa tiada diskriminasi ataupun penindasan diamalkan terhadap bangsa Melayu di negeri Pulau Pinang sebagaimana didakwa BN-UMNO.

Sebaliknya, penambahan peruntukan meliputi pembangunan, mengurus dan lain-lain untuk kepentingan hal ehwal agama Islam adalah satu penghormatan diberikan oleh kerajaan PR yang tidak pernah dilakukan oleh Kerajaan Barisan Nasional (BN) terdahulu.

Contohnya ialah peruntukan untuk pentadbiran hal ehwal agama Islam telah ditambah sebanyak 100 peratus dari RM12.5 juta pada 2008 kepada RM20.5 juta (2009) dan RM24.3 juta pada 2010 ; sumbangan Ehya’ Ramadan dan bantuan kepada Sekolah Agama Rakyat  (SAR) ; sambutan bulan Al-Quran ; anugerah huffaz dan istimak hufaz.

Ketua Menteri Pulau Pinang, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng berkata, usaha UMNO menggambarkan kononnya Kerajaan Negeri menindas bangsa Melayu dan agama Islam tidak akan berjaya kerana peruntukan yang disalurkan kepada hal ehwal agama Islam adalah melebihi apa yang diberikan oleh Kerajaan BN sebelum ini.

Menurut beliau, peruntukan tahun lalu (2009) pun melebihi apa yang Kerajaan BN berikan iaitu hanya RM 12.5 juta sahaja.

“Keprihatinan Kerajaan PR dapat dilihat apabila peruntukan untuk hal ehwal agama Islam ditambah iaitu meliputi peruntukan pembangunan sebanyak RM7.2 juta, peruntukan mengurus RM13.4 juta dan sebagainya RM3.7 juta bagi tahun 2010, ” katanya di sini baru-baru ini.

Selain itu, bersempena dengan sambutan Hari Raya Aidilfitri September lalu, pemberian Bantuan Khas Kewangan ataupun Duit Raya sebanyak RM500.00 disalurkan bukan hanya kepada Pegawai Perkhidmatan Awam di Pentadbiran Negeri Pulau Pinang, malah, buat kali pertamanya RM250 turut disumbangkan kepada guru KAFA (Kelas Al-Quran dan Fardhu Ain).

Ini adalah satu penghargaan dan pengiktirafan Kerajaan Negeri terhadap sumbangan yang telah diberikan oleh pegawai dan anggota pentadbiran negeri terhadap perkhidmatan masing-masing yang melibatkan 20 jabatan negeri dan guru KAFA.   Pemberian kepada 1,396 guru KAFA sebanyak RM 250 akan melibatkan kos keseluruhan berjumlah RM 349,000.  

Serentak itu, Majlis Syura yang julung-julung kali ditubuhkan dengan keanggotaan dari pakar-pakar pelbagai bidang berperanan sebagai penasihat dan pencetus idea kepada pentadbiran hal ehwal agama Islam di negeri ini. Dengan cetusan idea yang baik itu, program dan aktiviti berkesan dapat dilaksanakan demi memastikan umat Islam di negeri ini mencapai tahap kehidupan yang lebih sejahtera.

Penyerahan sumbangan Ehya’ Ramadan yang mula disalurkan kepada semua masjid di negeri ini pada tahun lalu (2009) juga diteruskan pada tahun ini dan tahun-tahun akan datang sebagai bukti kerajaan PR sentiasa menyokong aktiviti masyarakat Islam terutamanya menyambut dan memeriahkan kedatangan bulan Ramadan.

Lazimnya, Kerajaan Negeri menyangkal dakwaan liar pihak tidak bertanggungjawab yang telah membuat kenyataan palsu dan pelbagai fitnah bahawa Kerajaan Negeri Pulau Pinang berbohong dan berlakunya penindasan terhadap bangsa Melayu di sini.

Adalah ditegaskan bahawa laporan daripada Jabatan Kewangan Negeri jelas menunjukkan bahawa kerajaan PR tidak pernah berbohong semasa memberi kenyataan bahawa peruntukan BN untuk hal ehwal agama Islam tahun 2008 adalah sebanyak RM12,548,580.00 sahaja. Jabatan Kewangan Negeri mengesahkan bahawa RM12,548,580.00 terdiri daripada RM7,548,580 untuk belanja mengurus dan RM5,000,000 untuk perbelanjaan pembangunan.

Peruntukan RM12.5 juta adalah di bawah Kerajaan BN, di bawah Mantan Ketua Menteri Tan Sri Dr. Koh Tsu Koon. Sekiranya dibandingkan dengan Belanjawan pertama Kerajaan Pakatan Rakyat pada 2009, peruntukan jelas bertambah kepada RM20.5 juta yang juga merangkumi perbelanjaan mengurus dan pembangunan.

Amar Ma’aruf Nahi Mungkar!