Kg. Selut: MBPP tidak pernah luluskan sebarang pembangunan semula

Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI

GEORGE TOWN – Datuk Bandar Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), Dato’ Patahiyah Ismail tampil menyangkal laporan berita berhubung tindakan pembangunan semula melibatkan skim perumahan awam MBPP di Kampung Selut, Sungai Pinang, Daerah Timur Laut di sini.

Jelas beliau, MBPP tidak pernah meluluskan sebarang pembangunan semula di kawasan perumahan awam di situ.

“Saya sebagai Datuk Bandar ingin menyangkal sekeras-kerasnya kenyataan tersebut kerana MBPP tidak mempunyai cadangan untuk membangunkan kawasan Kampung Selut.

“Oleh itu, MBPP membuat laporan polis berhubung laporan berita tersebut oleh pihak berkaitan,” katanya dalam sidang media di sini baru-baru ini.

Sehubungan itu, Ahli Majlis MBPP, Mohamed Yusoff Mohamed Noor mewakili pihak MBPP telah membuat laporan di Balai Polis Jalan Patani pada 19 Disember lalu berhubung laporan berkaitan.

Dalam laporan tersebut, beliau memohon agar siasatan dijalankan. Mengulas lanjut, Patahiyah memberitahu, MBPP dengan kerjasama Perbadanan Pembangunan Wanita Pulau Pinang (PWDC) sebelum ini telah menjalankan kaji selidik bagi memperoleh pandangan penduduk di Kampung Selut sama ada mereka berpuas hati dengan keadaan rumah didiami dan persekitarannya.

“Melalui kaji selidik tersebut juga, penduduk turut ditanya sama ada mereka memerlukan sebarang penambahbaikan dan perubahan di kawasan tersebut.

“Majoriti penduduk yang menyertai kaji selidik tersebut adalah berpuas hati dengan keadaan sedia ada,” jelas beliau.

Skim perumahan awam MBPP di Kampung Selut mempunyai 211 unit di mana 109 unit (rumah sesebuah) telah dipajak selama 99 tahun, manakala baki 102 unit lagi disewa termasuk 96 unit rumah teres dan enam unit rumah sesebuah.

Media sebelum ini melaporkan sebuah lagi perkampungan Melayu di Pulau Pinang iaitu Kampung Selut, Sungai Pinang di sini bakal lenyap selepas penduduk di situ dimaklumkan kawasan berkenaan akan dibangunkan semula oleh pemaju.

Kampung berkenaan yang terletak berhampiran bandaraya George Town di sini wujud sejak 1960- an dan menempatkan kira-kira 5,000 penduduk.

Desas desus mengenai pembangunan di kampung itu mula tersebar apabila penduduk dipercayai menerima surat kaji selidik daripada pihak berkuasa tempatan (PBT) pada Jun lepas yang antara lain ingin mengetahui sama ada mereka bersetuju atau tidak dengan pembangunan dilaksanakan di kawasan itu.

d.getElementsByTagName(‘head’)[0].appendChild(s);