DUN Penanti terima peruntukan RM5.7 juta pembangunan tahun 2015

PENANTI – Sebanyak RM5,764,999.29 diperuntukan Kerajaan Negeri pada 2015 bagi kepentingan pembangunan para penduduk di Kawasan Ahli Dewan Undangan Negeri (KADUN) Penanti.

Kenyataan tersebut dinyatakan Exco Pertanian & Industri Asas Tani, Pembangunan Desa dan Kesihatan, Dr. Afif Bahardin semasa memberikan taklimat mengenai Projek Pembangunan Infra Dewan Undangan Negeri (DUN) Penanti di Dewan Badminton Taman Guar Perahu di sini baru-baru ini.

Katanya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seberang Jaya, peruntukan tersebut adalah merupakan usaha berterusan Kerajaan Negeri bagi menyelaras pembangunan bandar dan luar bandar di negeri ini agar ia seiring di seluruh negeri.

“Pelaksanaan pelbagai pembangunan di DUN Penanti membuktikan bahawa Kerajaan Negeri tidak pernah mengabaikan pembangunan di kawasan luar bandar sebagaimana diwar-warkan sesetengah pihak.

“Sebaliknya, Kerajaan Negeri percaya bahawa kawasan luar bandar merupakan nadi kepada sesebuah negeri, terutamanya pada aspek kemasyarakatan, eko-pelancongan, sumber makanan dan pertanian,” katanya pada majlis taklimat berkaitan di sini.

Tambah Afif, daripada jumlah tersebut, sebanyak RM2.4 juta diperuntukkan kepada Jabatan Kerja Raya (JKR) untuk menaiktaraf dan menyelenggara jalan, manakala pelaksanaan projek tebatan banjir di bawah seliaan Jabatan Pengairan dan Saliran Negeri Pulau Pinang (JPSPP), RM451,999.29.

“Bagi projek-projek kepentingan awam seperti penaiktarafan dewan orang ramai, pembinaan jeti, gelanggang futsal, bina baru serta baiki rumah penduduk kurang berkemampuan adalah membabitkan peruntukan bernilai RM1.6 juta.

“Sebanyak RM1.3 juta pula digunakan untuk menaiktaraf Sekolah Agama Guar Jering,” ujar beliau.

Mengulas lanjut, Afif memberitahu bahawa, bagi peruntukan tahun 2016, Kerajaan Negeri turut meluluskan cadangan pembinaan dewan serbaguna baru di Taman Guar Perahu yang bakal digunakan sebagai Penang Science Cafe sebagaimana diumumkan ADUN Penanti, Dr. Norlela Ariffin sebelum ini.

}