Kids CEO Playland lancar program ‘Send Love Food Bank’ bantu keluarga memerlukan

Admin

GEORGE TOWN – Kids CEO Playland memenuhi tanggungjawab sosial korporat (CSR) dengan melancarkan program ‘Send Love Foob Bank’ bagi membantu golongan memerlukan terutamanya kanak-kanak.

Pengasasnya, Jacqueline Lim Aie Tik berkata bahawa melalui program tersebut pihaknya berhasrat menyediakan 200 bakul makanan termasuk makanan kering dan susu tepung untuk diagihkan kepada keluarga yang terjejas dek penularan pandemik COVID-19.

Jaqqueline Lim Aie Tik.

“Pada masa ini, kami telah mengumpulkan kira-kira 100 bakul makanan bernilai RM100 setiap satu dan akan diserahkan melalui Masmeyer Foundation untuk diagihkan kepada keluarga asnaf terpilih.

“Pada masa ini, ‘Send Love Food Bank’ hanya bergantung kepada penyertaan sebuah syarikat sahaja, jadi saya berharap agar lebih banyak pihak tampil menyokong program ini untuk membantu ramai lagi golongan yang memerlukan,” katanya kepada Buletin Mutiara ketika ditemui baru-baru ini.

Menurut Jacqueline Lim, sejak dibuka pada Ogos tahun lalu, Kids CEO Playland terpaksa menutup operasi beberapa kali disebabkan pelaksanaan beberapa siri Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang diumumkan kerajaan.

Poster bagi program CSR yang dijalankan.

“Walaupun Kids CEO Playland tidak dapat dibuka untuk sementara waktu, tetapi pihak syarikat tidak boleh hanya berdiam diri tanpa melakukan apa-apa.

“Saya berpandangan bahawa inilah masanya untuk kami menyumbang kepada masyarakat dan melakukan yang terbaik bagi membantu keluarga yang memerlukan.

“Bukan sahaja dapat meringankan beban mereka yang memerlukan, malah ia juga memberi peluang kepada para pekerja kami untuk belajar menguruskan situasi ketika penularan COVID-19 daripada hanya duduk di rumah tanpa berbuat apa-apa,” ujarnya lagi.

Kids CEO playland menerima sambutan hangat daripada pelanggan sejak dibuka pada Ogos tahun lalu.

Selain itu katanya, program amal tersebut juga dapat membantu meningkatkan imej syarikat selain menyuntik perasaan positif kepada mereka yang berdepan kesukaran dalam menghadapi situasi pandemik ketika ini.

Tambahan pula, kata Jacqueline Lim, Kids CEO Playland akan menyambut ulang tahun pertama pada Ogos ini walaupun hanya sempat beroperasi kira-kira lima bulan sahaja.

“Banyak rakan perniagaan kami tidak mampu bertahan dalam tempoh getir ini dan memilih untuk menutup perniagaan mereka.

Antara kemudahan yang disediakan kepada pelanggan.

“Walau bagaimanapun, saya yakin sekiranya cabaran dan hari-hari yang sukar ini dapat ditangani, kami mampu menarik lebih ramai kehadiran pelanggan lagi selepas ini.

“Buat masa ini, kira-kira empat Kids CEO Playland di bahagian pulau dan Seberang Perai terpaksa ditutup tetapi saya percaya selepas dibuka semula nanti, sambutan daripada pelanggan akan kembali meningkat,” ujarnya penuh yakin.

Jelasnya lagi, pada awal pembukaannya pada Ogos tahun lalu, Kids CEO Playland menerima sambutan yang sangat menggalakkan daripada pelanggan pada setiap hari.

Kis CEO Playland amat mementingkan aspek kebersihan dan keselamatan.

“Kids CEO Playland tetap meneruskan perniagaan semasa pandemik ini, jadi kami sangat menitikberatkan aspek pencegahan dan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) yang sangat ketat.

“Sebab itulah, kita bahagikan operasi kepada tiga sesi dengan setiap sesi hanya diperuntukkan kira-kira 2 jam 30 minit sahaja dan terhad kepada 50 orang pada satu-satu masa.

“Setiap kali tamat satu-satu sesi, taman permainan ini akan ditutup selama 30 minit untuk menjalankan kerja-kerja sanitasi menyeluruh khususnya penyaman udara serta alat-alat permainan bagi memastikan kebersihan dan keselamatan kepada pengunjung.

“Bagi meneruskan kelangsungan perniagaan, kami tidak mempunyai banyak pilihan selain menyesuaikan diri dengan normal baharu termasuk mengadakan promosi serta penjualan tiket secara langsung melalui laman Facebook,” jelasnya lagi.

Difahamkan, pada Mac lalu, Kids CEO Playland yang beroperasi di dalam bangunan empat tingkat meliputi kawasan seluas 7,800 kaki persegi telah terpilih sebagai “Malaysia Largest Standalone Indoor Playground” oleh Malaysia Book of Records.

Promosi yang ditawarkan kepada pelanggan.

Mengulas lanjut, Jacqueline Lim memaklumkan bahawa Kids CEO Playland kini melancarkan promosi tiket berharga RM99 ringgit kepada para pelanggan.

“Mereka yang membeli kupon ini akan mendapat baucar perkhidmatan bernilai RM130, termasuk kemasukan tanpa had untuk seorang kanak-kanak (sah hingga 31 Disember 2022).

“Selain itu, mereka juga berpeluang mendapatkan baucar untuk parti sambutan hari jadi (RM50), baucar hiasan (RM50) dan RM30 untuk baucar kek hari jadi,” ulasnya.

Bagi mereka yang berminat untuk menderma boleh menyalurkan sumbangan ke akaun Kids CEO Playland Sdn. Bhd. di nombor akaun 3217 06 0136 (Public Bank).

Untuk maklumat lebih lanjut sila kunjungi https://www.facebook.com/kidsceoplayland atau hubungi 018-988 9433.

Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : JOANNE FOONG