Kira-kira 7.9 juta kunjungi UTC Komtar sejak beroperasi Ogos 2020

GEORGE TOWN – Kira-kira 7,891,225 pengunjung telah mendapatkan perkhidmatan yang disediakan di Pusat Transformasi Bandar (UTC) Pulau Pinang dekat Komtar sejak ia mula beroperasi pada Ogos 2020 hingga Disember 2021.

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata bahawa angka tersebut telah menyumbang kepada jumlah transaksi yang direkodkan sebanyak RM1,549,143,818 dalam tempoh sama.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Majlis Pra-perasmian UTC Pulau Pinang bersama-sama Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow di sini sebentar tadi.

Ketua Menteri bersama-sama Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz mengadakan kunjungan ke beberapa agensi yang beroperasi di UTC Pulau Pinang dekat Komtar.

“Secara purata bagi tahun 2021, setiap bulan kira-kira 16,000 orang telah mengunjungi UTC Komtar dan merekodkan transaksi berjumlah RM17 juta,” katanya.

Turut hadir dalam sesi lawatan tersebut ialah Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Dr. Ahmad Jailani Muhamed Yunus; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Komtar, The Lai Heng; Ketua Setiausaha Perbendaharaan Kementerian Kewangan, Datuk Seri Asri Hamidin@Hamidon; Timbalan Ketua Setiausaha Perbendaharaan (Pengurusan) Kementerian Kewangan, Rashidah Mohd. Sies serta Ketua Eksekutif Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso), Datuk Sri Dr. Mohammed Azman Aziz Mohamed.

Zafrul berkata, terdapat sebanyak 23 buah UTC beroperasi di seluruh negara dengan lima daripadanya berada di bahagian utara Semenanjung termasuk Perlis, Kedah, Perak dan Pulau Pinang.

Difahamkan, penubuhan UTC Pulau Pinang menelan kos RM16 juta yang mana kos bagi kerja-kerja pengubahsuaian dan menaik taraf premis ditanggung oleh Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC) manakala sebahagian lagi oleh Kementerian Kewangan Malaysia (RM5.24 juta).

Ketua Menteri menyerahkan cenderahati kepada tetamu jemputan khas yang hadir.

Terdapat 13 agensi kerajaan yang beroperasi di UTC Komtar iaitu Suruhanjaya Perkhidmatan Awam, Jabatan Imigresen Malaysia, Jabatan Pengangkutan Jalan, Jabatan Pendaftaran Negara, Lembaga Hasil Dalam Negeri, Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), Tenaga Nasional Berhad (TNB), Kementerian Pembangunan Wanita Keluarga & Masyarakat, Jabatan Penerangan Malaysia, Klinik Komuniti Malaysia, Polis Diraja Malaysia, MyFutureJobs dan Suruhanjaya Koperasi Malaysia Pulau Pinang.

Dalam perkembangan lain, Zafrul berkata Malaysia merekodkan pertumbuhan Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) bagi tahun 2021 sebanyak 3.1 peratus.

“Jumlah ini menunjukkan peningkatan berbanding tahun 2020 yang menguncup sebanyak 5.6 peratus.

“Keadaan ini menggambarkan bahawa momentum pemulihan ekonomi yang mana sepanjang suku keempat 2021 menyaksikan pertumbuhan sebanyak 3.6 peratus,” jelasnya.

Tambah beliau, keyakinan pelabur terhadap prospek pemulihan ekonomi negara juga telah meningkat dengan jumlah pelaburan langsung asing (FDI) telah mencecah RM50 bilion pada tahun 2021.

“Jumlah ini lebih tinggi daripada tahun-tahun sebelum penularan pandemik COVID-19 dan momentum ini dijangka berterusan pada tahun ini,” katanya.

Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : DARWINA MOHD. DAUD
Video : ALISSALA THIAN