Serambi PI: Kisah Malaysia melalui Perlembagaannya (Bahagian III)

Oleh : ZAIRIL KHIR JOHARI
Felo Penang Institute merangkap Ahli
Parlimen Bukit Bendera

1969-1973: Kesan Sebuah Tragedi

PERISTIWA paling diingati dalam dekad yang penuh dengan peristiwa bersejarah di Malaysia adalah rusuhan kaum pada 13 Mei 1969. Ketegangan telah meningkat dari tahun ke tahun sehingga pilihan raya umum tahun 1969 dan akhirnya keganasan meletus. Pada November 1967, sebuah protes yang dianjurkan oleh penyokong Maoist di Pulau Pinang bertukar menjadi peristiwa berdarah, namun berjaya disekat dari merebak ke negeri lain. Pada Jun 1968, satu protes terhadap hukuman mati yang dikenakan ke atas 11 orang ahli Cina Parti Komunis Malaya terus menimbulkan isu perkauman sehingga hukuman akhirnya dikurangkan.

Rentetan itu, sepanjang tempoh kempen pilihan raya rasmi, dari hari penamaan calon pada 5 April sehingga hari mengundi pada 10 Mei menyaksikan sentimen perkauman dan agama dimainkan dengan berleluasa. Dua minggu sebelum hari mengundi, seorang aktivis politik telah dibunuh di Pulau Pinang. Meskipun insiden ini dapat ditenangkan, 10 hari kemudian satu lagi insiden berlaku di Selangor, melibatkan seorang lelaki muda Cina ditembak.

Menyedari peluang politik, pemimpin Parti Buruh yang telah berada di bawah pengaruh haluan kiri dan telah bertindak memboikot pilihan raya umum, bertindak merampas penganjuran proses pengkebumian. Diadakan sehari sebelum hari pengundian, perarakan pengkebumian tersebut adalah yang terbesar di Kuala Lumpur dan bertukar menjadi himpunan tunjuk perasaan politik yang lengkap dengan poster membawa slogan revolusi Maoist dan menganggap si mati sebagai pejuang politik.

Sehari kemudian, Malaysia menghadapi pilihan raya. Jelas pada tarikh 11 Mei, parti Perikatan hanya dapat mengekalkan kuasa dengan kekurangan majoriti yang ketara. Pakatan tersebut bukan sahaja gagal mendapat 50% undi popular, malah kehilangan 2/3 majoriti dalam Parlimen buat pertama kali. Mereka juga kehilangan majoriti di Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang, Kelantan, Perak dan Selangor. Tiada parti yang menguasai majoriti jelas di Perak dan Selangor.

Gembira dengan keputusan yang tidak dijangka tersebut, parti pembangkang meraikan kejayaan dengan mengadakan perarakan besar-besaran. Lantas, sentimen perkauman dan provokatif amat menyerlah. Akhbar Utusan Melayu memberi gambaran bahawa kuasa politik orang Melayu terancam dan menyebabkan Pemuda Umno turut mengadakan perarakan sebagai tindak balas.

Tarikh 13 Mei akan kekal terpahat dalam sejarah Malaysia sebagai sebuah hari malang yang disebut Tunku sebagai “kekacauan sosial dan politik magnitud pertama”, sebuah memori hitam rakyat Malaysia dikhianati sesama sendiri. Kematian ratusan dalam rusuhan antara kaum mengakibatkan pertumpahan darah di jalanan Kuala Lumpur.

Darurat telah diisytiharkan. Pada 16 Mei, Parlimen telah digantung, satu siri peristiwa yang tidak mungkin akan berlaku kalau bukan kerana pindaan perlembagaan pada tahun 1960. Dengan tiadanya Parlimen, satu Majlis Gerakan Negara (MAGERAN) telah ditubuhkan sebagai badan pentadbiran negara di bawah pimpinan Timbalan Perdana Menteri Abdul Razak Hussein. Majlis operasi negeri dan daerah juga ditubuhkan untuk pentadbiran masing-masing.

Perancangan dan motif sebenar di sebalik keputusan dan kejadian kekacauan ini akan kekal menjadi teori konspirasi. Walau bagaimanapun, insiden 13 Mei menandakan berakhirnya era pertama dalam sejarah Malaysia, dan menjadi permulaan kepada era baru di bawah Razak yang memerintah sebagai ketua MAGERAN dan kemudiannya sebagai perdana menteri setelah persaraan Tunku pada 22 September 1970.

Akibat daripada rusuhan berdarah tersebut, Dasar Ekonomi Baru telah dirangka, di mana sifat nasionalisme Melayu telah diberi penekanan dalam beberapa sektor, termasuk pendidikan dan ekonomi. Masyarakat Malaysia distruktur semula melalui tindakan affirmatif. Politik negara juga mengalami perubahan yang besar dengan penubuhan Barisan Nasional, satu gabungan politik yang menyerap parti-parti pembangkang seperti PAS, Gerakan dan PPP di Semenanjung Malaysia. Ini mengembalikan majoriti dua pertiga kerajaan dan mengukuhkan lagi kawalan terhadap semua kerajaan negeri.

Diperkasakan dengan bidang kuasa yang menyeluruh, Razak telah memahatkan kompromi sosial yang baru itu ke dalam Akta Perlembagaan (Pindaan) 1971 yang kontroversial. “Pindaan perkara-perkara sensitif” ini telah menggubal 7 artikel, termasuk artikel berkenaan kebebasan bersuara, berpersatuan, hak-hak istimewa Parlimen, bahasa kebangsaan, dan perluasan Artikel 153 berhubung perlindungan “kedudukan istimewa” orang Melayu.

Hasil daripada pindaan ini, hak-hak asasi dikekang sehingga tidak menjamin kebebasan untuk membincangkan “perkara-perkara sensitif” secara terbuka walau di Parlimen. Perkara-perkara tersebut merangkumi hak kewarganegaraan, bahasa, kedudukan istimewa orang Melayu dan Orang-orang Asli Borneo, serta kedaulatan raja-raja. Akta Hasutan yang sebelum ini tidak terpakai dalam kawasan Parlimen dan Dewan Undangan Negeri kini berkuatkuasa tanpa batasan.

Pemindaan ini ditambah lagi dengan undang-undang bersifat menyekat seperti Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 yang mengharamkan penyertaan pelajar universiti dalam aktiviti politik serta Akta Rahsia Rasmi 1972 yang memperuntukkan rahsia negara yang dihalang daripada didedahkan.

Lanjutan itu juga, Artikel 159 telah dirombak supaya perkenan Majlis Diraja, yang sebelum ini hanya diperlukan untuk pindaan fasal yang berkaitan dengan hak istimewa orang Melayu dan raja-raja sendiri, kini turut diperlukan untuk pindaan bahasa kebangsaan, keistimewaan parlimen dan beberapa hak kebebasan asasi. Sementara itu, Artikel 153 juga telah diubah untuk membenarkan pemberian kuota Melayu dan bumiputera di dalam institusi pengajian tinggi, sebagai tambahan kepada kuota sedia ada dalam perkhidmatan awam, sistem pendidikan serta lesen dan permit perniagaan.

Pada tahun 1973, terdapat satu lagi rang undang-undang pindaan perlembagaan yang mempunyai impak besar kepada pilihan raya. Had peratus perbezaan pengundi antara kawasan yang telah ditingkatkan dari 15% ke 33% pada tahun 1962, kini telah dimansuhkan sama sekali. Kesan daripada perobohan benteng-benteng pertahanan yang telah dimasukkan oleh Suruhanjaya Reid, sesebuah kawasan Parlimen dibenarkan empat atau lima kali ganda lebih besar daripada kawasan yang lain biarpun dalam negeri yang sama. Inilah situasi hari ini.

Tambahan pula, kuasa EC untuk membahagi-bahagikan kawasan telah dimansuhkan. Kini, majoriti dua pertiga dalam Parlimen diperlukan bagi menggubal fasal ini. Dengan tiadanya had perbezaan pengundi kawasan, kerajaan telah dikurniakan kuasa mutlak dalam soal persempadanan semula dan pengagihan pengundi.

Akhir sekali, pindaan yang dibuat turut menyaksikan Kuala Lumpur menjadi sebuah wilayah persekutuan dan dikeluarkan dari negeri Selangor. Majoriti penduduk Cina di Kuala Lumpur dilihat memainkan peranan utama mengalahkan Parti Perikatan di Selangor pada tahun 1969, dan mengeluarkan Kuala Lumpur dapat mengurangkan jumlah pengundi pembangkang di negeri Selangor. Tindakan ini bukan sahaja menjamin kedudukan BN di Selangor bahkan pengundi Kuala Lumpur pula kehilangan hak untuk diwakili disebabkan wilayah persekutuan tidak mempunyai dewan perundangan.