KITAB mengorak langkah capai status universiti berasaskan wakaf

GEORGE TOWN – Kolej Islam Teknologi Antarabangsa (KITAB) kini dalam perancangan untuk mendirikan sebuah lagi kampus berasaskan wakaf di Bandar Cassia, Batu Kawan.

 

 

 

Timbalan Ketua Menteri I, Dato’ Ir. Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman berkata, pembinaan kampus baharu di atas tapak berkeluasan 17.3 ekar yang disumbangkan oleh Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC) itu akan menempatkan pelbagai kemudahan bertaraf global.

 

 

 

“Kerja-kerja awalan seperti reka bentuk bakal dimulakan tahun hadapan dan kerja-kerja pembinaan akan dijalankan secara berfasa sehingga siap sepenuhnya menjelang tahun 2030, itu jangkaannya.

 

 

“Sama seperti KITAB di sini, kampus baharu nanti akan dibiayai sepenuhnya melalui konsep wakaf dan setiap fasa pembinaan ada cara pembiayaannya sama ada pembiayaan berasingan atau melalui joint-venture,” ujarnya yang juga Yang di-Pertua Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP).

 

 

Mengulas mengenai kampus berasaskan wakaf, Ahmad Zakiyuddin memberitahu bahawa ia bukanlah suatu konsep yang baharu bahkan Universiti Al-Azhar di Mesir pun menggunakan konsep wakaf yang sama.

 

 

“Konsep seperti ini memberi peluang kepada KITAB untuk meneroka sumber pendapatan baharu selain menerima dana daripada Zakat Pulau Pinang (ZPP).

 

 

“Misalnya daripada syarikat korporat, sumbangan orang ramai, hasil pelaburan Wakaf Pulau Pinang (WPP), sumbangan Kerajaan Negeri ataupun Kerajaan Pusat serta dana-dana lain,” jelasnya.

 

Terdahulu, Ahmad Zakiyuddin hadir ke rakaman Majlis Konvensyen Ke-12 dan Majlis Pelancaran Wakaf Pengajian Tinggi KITAB yang turut dihadiri oleh Yang di-Pertua Negeri, Tuan Yang Terutama Tun Dato’ Seri Utama Ahmad Fuzi Abdul Razak dan isteri, Toh Puan Dato’ Seri Utama Khadijah Mohd. Nor sebagai tetamu kehormat utama.

 

 

Dalam majlis tersebut, Ahmad Fuzi turut menerima cek cura daripada 10 syarikat korporat dan orang-perseorangan untuk disalurkan ke dalam Tabung Wakaf Pengajian Tinggi KITAB-WPP.

 

Menurut Ahmad Zakiyuddin, kewujudan Wakaf Pengajian Tinggi KITAB (WPTK) membuktikan komitmen dalam memperkasakan kelestarian kewangan KITAB yang merupakan institusi pengajian Islam milik penuh MAINPP.

 

 

“Melalui kerjasama strategik, segala perihal berkaitan pemberian biasiswa, penyelidikan, pelaksanaan pengajaran dan pembelajaran, pengurusan operasi, aktiviti pelajar malah pembinaan bangunan kampus baharu serta aset mudah alih kini mendapat kerjasama langsung daripada rakan strategik, WPP,” katanya.

 

 

Sementara itu, Rektor KITAB, Prof. Dr. Mohamad Abdul Hamid ketika ditemui memaklumkan bahawa pihaknya kini sedang mengorak langkah bagi merealisasikan status bertaraf universiti untuk KITAB.

 

 

“Sesuai dengan cogan kata ‘Memacu Legasi Tarbiah Ke Arah Melahirkan Ulul Albab’ yang bukan sahaja berdaya saing tetapi juga mampu menawarkan penyelesaian ummah dari perspektif Islam.

 

 

“Apabila siap kelak, KITAB akan mempunyai dua kampus bandar iaitu di George Town dan di Bandar Cassia Batu Kawan,” katanya.

 

 

Ketua Pegawai Eksekutif PDC, Dato’ Mohd. Bazid Abdul Kahar; Timbalan Yang di-Pertua MAINPP, Dr. Roslan Ahmad dan Ketua Pegawai Eksekutif WPP, Rosidi Hussain antara tetamu kehormat yang turut hadir pada majlis berkaitan pada 26 Oktober 2021 di Hotel Eastern & Oriental dekat sini.

 

 

 

Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI

 

Gambar : AHMAD ADIL MUHAMAD