Kitar semula beg plastik beras, galak amalan lestari

img 20250928 wa0011

BUKIT TENGAH – Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) dengan kerjasama Jasmine Food Corporation Sdn. Bhd. (Jasmine Food) hari ini melancarkan Program Kitar Semula Beg Plastik Beras bertempat di Pasar Raya Billion Kota Permai di sini.

 

 

Majlis perasmian disempurnakan oleh Ahli Majlis MBSP, Heng Yeh Shiuan dengan kehadiran Pengurus Cawangan Jasmine Food, Ooi Hoo Joo dan Pengurus Cawangan Billion Kota Permai, KL Hong.

 

img 20250928 wa0007
HENG Yeh Shiuan (depan, tujuh dari kiri) bersama-sama wakil Jasmine Food, Pasar Raya Billion Kota Permai dan rakan sepenjawatan merakamkan gambar kenang-kenangan pada majlis berkaitan di sini, pagi ini.

 

Terdahulu, ketika berucap, Yeh Shiuan berkata bahawa program tersebut merupakan salah satu usaha tanggungjawab sosial korporat (CSR) yang berimpak besar dalam menyemai kesedaran masyarakat mengenai kepentingan mengurangkan penggunaan plastik sekali guna.

 

 

Program Kitar Semula Beg Plastik Beras ini bukan sahaja memberi fokus pada pengurangan sisa plastik, malah turut meningkatkan kesedaran masyarakat tentang kepentingan amalan kitar semula dalam kehidupan seharian,” ujarnya.

 

 

Menurut Yeh Shiuan lagi, program terdahulu yang diadakan di Lotus’s Bukit Mertajam pada 22 Jun 2025 berjaya mengumpulkan 367 beg plastik beras, manakala program kedua di Pasar Besar Econsave Jawi pada 24 Ogos 2025 merekodkan sebanyak 443 beg plastik beras.

 

 

Difahamkan, beg-beg tersebut disalurkan kepada komuniti untuk diproses menjadi produk mesra alam melalui kaedah upcycle.

 

img 20250928 wa0006
BEG plastik beras boleh digunakan semula untuk mengisi barangan keperluan yang dibeli di kedai mahupun pasar raya.

 

 

Dalam majlis sama, Yeh Shiuan turut menekankan kepentingan mengamalkan prinsip pengguna bijak 8R iaitu Rethink, Refuse, Reuse, Reduce, Repair, Regift, Recover dan Recycle sebagai gaya hidup lestari.

 

 

Saya berharap agar lebih ramai komuniti tempatan tampil menyahut seruan ini.

 

 

“Usaha ini diyakini mampu menyumbang kepada visi kita untuk membentuk sebuah bandar raya rendah karbon yang berdaya huni, mampan, inklusif, hijau, kompetitif serta berteraskan konsep Bandar Pintar,” katanya.

 

 

Mengambil kesempatan sama, Yeh Shiuan juga merakamkan penghargaan kepada Jasmine Food dan Pasar Raya Billion Kota Permai atas sokongan menjayakan program tersebut serta mengajak masyarakat Seberang Perai untuk bersama-sama membantu MBSP menjadikan bandar raya itu lebih bersih, indah dan selesa didiami.

 

 

Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI 
Gambar : MBSP