GEORGE TOWN – Perkhidmatan di klinik kesihatan kerajaan selepas waktu pejabat boleh dimanfaatkan orang ramai bagi mendapatkan rawatan untuk masalah kesihatan bukan kecemasan, sekali gus membantu mengurangkan kesesakan di Jabatan Kecemasan dan Trauma Hospital Pulau Pinang (HPP), kata Pengerusi Ahli Lembaga Pelawat Hospital Pulau Pinang, Dato’ Tay Leong Seng.

Menurut beliau, kemudahan berkenaan memberi alternatif kepada orang ramai yang memerlukan rawatan selepas waktu bekerja, di samping membantu memastikan pesakit yang mengalami keadaan kritikal mendapat perhatian sewajarnya.
Inisiatif yang diperkenalkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia ini memberi pilihan kepada pesakit tanpa perlu terus ke Jabatan Kecemasan dan Trauma, khususnya bagi mendapatkan rawatan untuk masalah kesihatan bukan kecemasan.
“Langkah ini dapat membantu mengurangkan kesesakan di Jabatan Kecemasan dan Trauma hospital kerajaan serta membolehkan petugas kesihatan memberi tumpuan kepada pesakit yang benar-benar memerlukan rawatan segera,” ujarnya.
Difahamkan, dua klinik kesihatan yang menyediakan perkhidmatan selepas waktu pejabat adalah Klinik Kesihatan (KK) Bayan Baru di daerah Barat Daya dan KK Seberang Jaya di Seberang Perai Tengah.

Berdasarkan maklumat operasi yang diterbitkan oleh Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang sebelum ini, perkhidmatan berkenaan beroperasi dari pukul 5.00 petang hingga 9.00 malam pada Isnin hingga Jumaat, manakala pada Sabtu, perkhidmatan disediakan dari pukul 9.00 pagi hingga 1.00 petang serta tidak beroperasi pada Ahad dan cuti umum.
Mengulas lanjut, Leong Seng menyarankan agar orang ramai menghubungi klinik berkenaan terlebih dahulu bagi mengesahkan waktu operasi terkini.
“Bagi kes kecemasan serius, pesakit hendaklah mendapatkan rawatan segera di Jabatan Kecemasan hospital atau menghubungi talian 999.” katanya.