KKM diminta pertimbangkan semula cadangan pembangunan pusat jantung baharu di HPP bagi menampung pesakit yang kian meningkat

TANJUNG BUNGAH – Kerajaan Persekutuan melalui Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) diminta untuk mempertimbangkan kembali cadangan bagi membangunkan sebuah pusat jantung baharu di Hospital Besar Pulau Pinang (HPP).

Permintaan tersebut disuarakan Pengerusi Pertubuhan Jantung Pulau Pinang (PHC), Dato’ Lawrence Cheah Seong Paik ketika majlis pelancaran pertubuhan berkenaan di sini pagi ini.

Seong Paik berkata, bilangan pesakit jantung yang semakin meningkat dan jumlah (pesakit) menunggu rawatan lanjut yang mencecah ribuan orang kini menyukarkan HPP untuk menampung keadaan tersebut.

Penang Heart Centre yang ditubuhkan pada tahun 1994 adalah yang pertama di dalam negara iaitu sebelum Institut Jantung Negara (IJN) ditubuhkan lagi.

Dengan keadaan hospital yang padat iaitu 1,000 katil sekarang ini memerlukan penaiktarafan segera dilakukan, pesakit semakin bertambah tetapi hospital kekurangan fasiliti.

Tambahan pula, HPP kini merupakan pusat pakar rawatan jantung bagi Wilayah Utara Semenanjung Malaysia dan sewajarnya pusat jantung yang dicadangkan dahulu dipertimbangkan semula bagi menampung bilangan pesakit yang semakin meningkat,” ujarnya.

Hadir menyempurnakan majlis pelancaran, Yang Dipertua Negeri (T.Y.T), Tun Dr. Abdul Rahman Abbas dan isteri, Toh Puan Majimor Shariff.

Hadir sama isteri Ketua Menteri merangkap Presiden Pertubuhan Wanita Mutiara Pulau Pinang, Puan Tan Lean Kee.

PHC merupakan sebuah pertubuhan baru yang ditubuhkan bukan berasaskan keuntungan sebaliknya berfungsi untuk memberi kesedaran dan pendidikan kepada umum serta melaksanakan kempen berkaitan jantung.

Dalam pada itu, Lean Kee ketika berucap memberitahu bahawa berdasarkan laporan tahunan kardiovaskular kebangsaan, sebanyak 13.5 peratus pesakit jantung di negara ini adalah di bawah linkungan 50 tahun.

Berdasarkan statistik, penyakit atau serangan jantung adalah punca utama kematian di Malaysia dan rakyat Malaysia didiagnosis menghidap penyakit jantung seawal usia 58 tahun.

Berbanding populasi di Thailand sekitar usia 65 tahun, Kanada (68 tahun) dan negara-negara barat (66 tahun,” ujarnya.