KM harap Batu Kawan sebagai hub perindustrian teknologi tinggi negara

Admin

SEBERANG JAYA – Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng berharap ledakan revolusi perindustrian 4.0 di peringkat dunia turut menjadikan Batu Kawan sebagai hub perindustrian teknologi tinggi negara kelak.

Mengulas lanjut, beliau memberitahu bahawa Pulau Pinang ketika ini mempunyai ramai tenaga kerja mahir, kemudahan
logistik moden, rantaian bekalan mencukupi serta tadbir urus Kerajaan Negeri yang baik untuk menarik lebih ramai pelabur.

“(Batu Kawan) ini adalah tapak perindustrian terancang, dan kita (Kerajaan Negeri) dapat yakinkan pelabur-pelabur datang serta mendirikan kilang mereka dengan program berdasarkan kelebihan-kelebihan yang ada di Pulau Pinang,” jelas Guan Eng di Kompleks Ibu Pejabat Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) dekat Bandar Perda baru-baru ini.

Sebelum itu, beliau merasmikan Bengkel Latihan Kakitangan MPSP Mengenai Revolusi Perindustian 4.0 dekat Auditorium MPSP di sini.

Menurut Guan Eng, Pulau Pinang ketika ini menyumbang 24 peratus daripada eksport Malaysia dan dijangka meningkat lebih 50 peratus pada tahun-tahun akan datang.

Tambahnya, jangkaan itu adalah berdasarkan rekod pelaburan terbaru ke Batu Kawan, seperti Broadcom Global Distribution Warehouses, UST Global, Boston Scientific, IKEA, Colombia Hospital dan banyak lagi pelabur asing lain.

Dalam pada itu, Yang di-Pertua MPSP, Dato’ Sr. Rozali Mohamud berkata, tujuan penganjuran bengkel latihan berkenaan antara lain adalah untuk mendedahkan peri penting tadbir urus pihak berkuasa tempatan (PBT) mengambil bahagian dalam ledakan Revolusi Perindustrian 4.0, seperti penggunaan Analisis Data Besar & Data Terbuka (BDA), Pengkomputeran Awam (Cloud Computing) dan Internet Untuk Segala-Galanya (IoT).

“Ini adalah permulaan penerokaan sistem komunikasi\ ‘Cyber Physical’ yang pertama kali diadakan pada peringkat PBT di seluruh Malaysia, dan sekali lagi ‘Pulau Pinang Memimpin’,” jelasnya.

Bengkel sehari di sini dikendalikan Penasihat Teknikal Perbadanan Pembangunan Kemahiran Pulau Pinang (PSDC), Azahar Md. Nayan.