KM kagum kesungguhan rakyat Pulau Pinang untuk kekal sihat

GEORGE TOWN – Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng kagum dengan kesungguhan rakyat Pulau Pinang untuk kekal sihat.

Menurut beliau, meskipun Pulau Pinang dianggap syurga makanan, namun masih ramai yang menitikberatkan soal kesihatan.

“Jadi, ambillah peluang ini untuk beriadah dan berseronok kerana saya percaya apabila kita sihat barulah kita nampak cun, barulah Penang Cun.

“(Dan) bagi pihak Kerajaan Negeri, saya mengucapkan tahniah dan syabas kerana anda semua adalah bukti memang Pulau Pinang sihat,” ucapnya sebelum melepaskan peserta acara mendaki tahunan I Penang Hike 2018 dekat Taman Rekreasi Kuari dekat Taman Botani di sini 24 Mac lalu.

Turut sama, Pengurus Besar Perbandaran Bukit Bendera, Cheok Lay Leng dan Datuk Bandar bagi Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), Ar. Yew Tung Seang.

Difahamkan, kira-kira 3,000 umum mengambil bahagian dalam edisi I Penang Hike 2018.

Menariknya, peserta termuda tahun ini, Aydan Haris Ashraf, 3, turut berjaya menghabiskan cabaran mendaki bersama-sama bapa, Ashraf Sharif Hussain dan ibunya, Nor Junaina Jusof.

“Saya memang selalu bawa Aydan (Haris) hiking Bukit Bendera, tapi ini adalah program pertama disertai Aydan dan alhamdulillah sepanjang perjalanan tiada sebarang masalah, cuma saya dan isteri bergilir-gilir dukung Aydan di tempat-tempat yang agak curam.

“Pada saya, program ini ( I Penang Hike) sangat bagus kerana bukan sahaja memberi kesedaran dan galakan untuk melakukan aktiviti sihat, malah juga memberikan pengalaman berbeza.

“Lagipun kita boleh menikmati pelbagai makanan dan desserts (kudapan) yang sedap-sedap selepas penat mendaki,” kata
Ashraf Sharif ketika ditemui di sini baru-baru ini.