KM mahu pelancong sedunia ‘kenang’ tandas bersih di P. Pinang

GEORGE TOWN – Selepas George Town diiktiraf di kedudukan keempat sebagai 10 bandar paling berkarismatik untuk dikunjungi pada 2016 dalam senarai portal antarabangsa popular, Lonely Planet beberapa bulan lalu, Ketua Menteri berharap usaha Kerajaan Negeri mewujudkan kondisi tandas bersih di negeri ini akan turut dikenang oleh pelancong Pulau Pinang kelak.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng dalam ucapannya berkata, beliau sendiri pernah mendapat maklum balas daripada seorang pelancong tempatan yang pernah menggunakan tandas awam Pasar Air Itam, dalam satu program di Johor Bharu baru-baru ini.

“Saya ada bertanya pernah sampai ke Bukit Bendera, dia berkata dia masih tidak boleh lupa tentang kebersihan tandas awam di Pasar Awam Air Itam itu.

“Kita (rakyat) perlu ingat, sekiranya Pulau Pinang ingin berjaya menjadi sebuah negeri yang bertaraf antarabangsa dan pintar, maka taraf tandas juga mesti bertaraf antarabangsa,” katanya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Air Putih semasa merasmikan Majlis Sambutan Hari Tandas Sedunia 2015 di Dewan Bandaran Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) di sini baru-baru ini.

Exco Kerajaan Tempatan, Pengurusan Lalulintas dan Tebatan Banjir, Chow Kon Yeow, Dr. Afif Bahardin (Exco Pertanian & Industri Asas Tani, Pembangunan Desa dan Kesihatan merangkap ADUN Seberang Jaya), Lim Hock Seng (Exco Kerja Raya, Pengangkutan dan Utiliti merangkap ADUN Bagan Jermal), Dato’ Maktar Shapee (Timbalan Yang di-Pertua Dewan Undangan Negeri merangkap ADUN Sungai Bakap) dan Dato’ Maimunah Mohd. Sharif (Yang di-Pertua Majlis Perbandaran Seberang Perai, MPSP) turut hadir pada majlis tersebut.

Sebelum itu, Kon Yeow memberitahu bahawa Pulau Pinang mungkin merupakan satu-satunya negeri yang konsisten menyambut sambutan Hari Tandas Sedunia tiap-tiap tahun, sebagaimana disyorkan oleh World Toilet Organization (WTO) pada tanggal 19 November.

“Kita (Kerajaan Negeri) mahu mewujudkan Pulau Pinang Bersih, Hijau, Selamat dan Sihat, dengan ‘Tandas Bersih, Rakyat Selesa dan Pulau Pinang Sejahtera’ dikekalkan sebagai tema (peringkat) negeri.

“Itulah sebabnya Kerajaan Negeri Pulau Pinang masih meneruskan sambutan Hari Tandas Sedunia serta mengadakan beberapa kategori pertandingan tandas terbersih sehingga sekarang,” jelasnya yang juga ADUN Padang Kota.

Justeru, Guan Eng dan Kon Yeow masingmasing merakamkan penghargaan kepada Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang, Jabatan Pelajaran Negeri Pulau Pinang dan Quality Restroom Association of Malaysia (Q-RAM) Pulau Pinang kerana banyak membantu Kerajaan Negeri dalam menjayakan kempen serta pertandingan tandas bersih peringkat negeri.

Pertandingan kali ini menyaksikan tandas awam Kompleks Makanan Taman Sentosa dipilih sebagai johan Kategori Pihak Berkuasa Tempatan, Petron ISM Retail (Kategori Stesen Minyak), A Tu Z Wedding House Sdn. Bhd. (Kategori Kedai Makan), Vino Nino Bistro (Kategori Restoran), Gurney Plaza (Kategori Pasaraya), Sekolah Menengah Kebangsaan Convent Bukit Mertajam (Kategori Sekolah Menengah), Sekolah Kebangsaan Bertam Perdana (Kategori Sekolah Rendah) dan Lembaga Muzium Negeri Pulau Pinang (Kategori Jabatan Kerajaan)