KM seru semua pihak jayakan Dasar Keterangkuman Gender

Admin

GEORGE TOWN – Ketua Menteri, Y.A.B Tuan Chow Kon Yeow menyeru semua pimpinan Kerajaan Negeri sama ada di peringkat pentadbiran negeri mahupun tempatan, agar dapat melaksanakan Dasar Keterangkuman Gender.

KETUA Menteri ketika menyampaikan ucaptama pada majlis berkaitan pagi ini.

Menurut Kon Yeow, semua pimpinan Kerajaan Negeri perlu memainkan peranan masing-masing bagi memastikan pelaksanaan dasar tersebut berjaya.

“Adalah menjadi tanggungjawab Exco bagi memastikan semua Ketua Jabatan dan Agensi Kerajaan Negeri melaksanakan dasar ini melalui pembangunan kapasiti, menyediakan pemerolehan Data Mengikut Jantina (SDD) dan Bajet Responsif serta Partisipatori Gender (GRPB) untuk dilaporkan dalam mesyuarat mingguan.

“Selain itu, setiap jabatan dan agensi terlibat perlu memastikan perspektif gender dipertimbangkan dalam setiap perancangan projek, program dan dasar-dasar lain yang dapat menggalakkan penyertaan semua pihak.

“Bagi peringkat Kerajaan Tempatan di Pulau Pinang, saya ingin menzahirkan penghargaan dan ucapan tahniah kepada Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) dan Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) kerana berjaya mengguna pakai GRPB serta senarai semak gender dalam melaksanakan program mereka.

“Teruskan usaha baik ini dan amat berharap agar pihak lain dapat mengikuti contoh ini dan meluaskan amalannya ke seluruh negeri bagi memahami keperluan rakyat seluruhnya,” ucapnya pada Majlis Perasmian Dasar Keterangkuman Gender di Komtar pagi ini.

Hadir sama, Exco Pembangunan Wanita, Keluarga, Keterangkuman Gender dan Agama Selain Islam, Chong Eng; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Komtar, Teh Lai Heng; ADUN Machang Bubuk, Lee Khai Loon; ADUN Batu Lancang, Ong Ah Teong; ADUN Sungai Pinang, Lim Siew Khim; Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Pambangunan), Datuk Azhar Arshad; Yang di-Pertua MPSP, Dato’ Sr. Rozali Mohamud dan Setiausaha Bandaraya MBPP, Ir. Addnan Mohd. Razali.

Turut serta, beberapa Ahli Majlis MBPP, MPSP; Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Pembangunan Wanita Pulau Pinang (PWDC), Ong Bee Leng; Pengarah Projek PWDC, Datin Rohana Abdul Ghani serta barisan penceramah di peringkat pentadbiran negeri dan tempatan.

Rentetan itu, Kon Yeow turut berharap agar Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK), Jawatankuasa Pembangunan Wanita dan Keluarga (JPWK), Kawasan Rukun Tetangga (KRT), persatuan penduduk dan organisasi tempatan dapat meyokong pelaksanaan Dasar Keterangkuman Gender tersebut di peringkat tempatan.

“Saya mahu mereka membudayakan pemikiran di luar kotak dan ‘lari’ daripada cara pemikiran lama yang membahagi-bahagikan rakyat mengikut segmen tertentu.

“Saya percaya, Pulau Pinang mampu menjadi teladan dan inspirasi dalam usaha mengurangkan jurang gender ini dengan mengambil pendekatan menjayakan Dasar Keterangkuman Gender dalam menyampaikan perkhidmatan,” katanya yang juga mahu keperluan setiap kelompok berlainan dengan keperluan berbeza dipenuhi.

CHONG Eng (depan, tengah) bersama-sama tetamu jemputan lain menunjukkan plakad promosi sempena majlis berkaitan pagi ini.

Dalam pada itu, Chong Eng yang turut berucap pada majlis tersebut memberitahu bahawa sebagai sebuah kerajaan yang berpandukan rakyat, dasar berkenaan bakal membawa satu anjakan paradigma dalam urus tadbir baik Kerajaan Negeri.

“Ia (Dasar Keterangkuman Gender) akan memberi impak yang positif serta mampu mewujudkan persekitaran yang mesra gender.

“(Dan) usaha ini dilakukan bukan sahaja untuk dikecapi generasi pada masa kini tetapi generasi akan datang,” katanya.

Jelas beliau, melalui pelaksanaan dasar tersebut, pihaknya mensasarkan nisbah 40:40:20 sebagai penanda aras bagi penyertaan wanita dan lelaki di peringkat pembuat dasar.

“40 peratus adalah wanita, 40 peratus lagi lelaki dan 20 peratus adalah lelaki dan wanita, agar tidak ada satu gender pun yang mendominasikan proses membuat keputusan (dasar).

“Dasar Keterangkuman Gender ini juga adalah selaras dengan visi Penang2030 yang memberi peluang kepada setiap individu untuk memaksimumkan potensi diri sekaligus mewujudkan masyarakat yang saling menghormati tanpa mengira gender,” ulas Chong Eng.

Berdasarkan kajian Mckinsey (2018), kepelbagaian gender mempunyai korelasi positif dan dilihat mampu menjana idea yang kreatif dan inovatif dalam sesuatu kepelbagaian kelompok. Hasilnya, jika diterapkan dalam penyampaian perkhidmatan di peringkat pentadbiran, pelanggan akan lebih berpuas hati dan yakin.

Pulau Pinang mencatat sejarah tersendiri apabila menjadi satu-satunya negeri di Malaysia yang meluluskan Dasar Keterangkuman Gender berkenaan.

Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI
Gambar : ALISSALA THIAN