KM terkejut AG terus cadangan asal dakwa Rayer

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB

GEORGE TOWN – Perbicaraan dua kes berkaitan isu ‘UMNO Celaka’ di bawah Akta Hasutan membabitkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seri Delima, R.S.N Rayer di dua kamar berasingan Mahkamah Sesyen George Town di sini baru-baru ini akhirnya ditetapkan pada 17 Oktober ini dengan bon jaminan RM3,000 serta seorang penjamin.

Ketetapan itu, selepas pihak pembelaan diketuai Gobind Singh Deo mempersoal bon  jaminan RM20,000 yang dikenakan ke atas anak guamannya, Rayer.

“Apakah peranan sebenar Mahkamah apabila Yang Arif (YA) membuat keputusan  supaya anak guaman saya (Rayer) diikat jamin sampai RM20,000.

“Pada tarikh perbicaraan 16 Jun lalu, dia (Rayer) datang, saya pun datang (ke Kompleks Mahkamah Tinggi Pulau Pinang)…hanya kertas tertuduh yang ‘tak datang’,” ujarnya yang juga Ahli Parlimen Puchong sambil menjelaskan kewibawaan anak guamannya itu.

Hakim YA Tuan Zulhazmi Abdullah membuat ketetapan itu bagi kes pertama, iaitu merujuk pada ucapan kontroversi Rayer dalam sesi sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang lalu.

Manakala, Hakim YA Zanariah Hussain pula membuat ketetapan bagi kes kedua, iaitu berhubung ceramah politik Rayer mengenai isu sama di Island Glades, Jelutong pada 22 Mei lepas.

Rayer di kedua-kedua kandang tertuduh mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan secara adil.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng dalam sidang media selepas itu, melahirkan rasa terkejut dengan tindakan tidak berperlembagaan yang dilakukan oleh pejabat Peguam Negara (AG) ke atas Rayer.

“Sangat terkejut bahawa Peguam Negara meneruskan cadangan asal mendakwa Yang Berhormat Rayer berhubung ucapannya dalam dewan (DUN Pulau Pinang), sungguhpun di bawah undang-undang, dia (Rayer) memiliki kekebalan.

“Saya rasa ini merupakan penghinaan pada demokrasi dan keunggulan Dewan Undangan Negeri (DUN) sebagai institusi tertinggi dalam sistem Raja Berperlembagaan di Malaysia,” ujar Guan Eng di lobi Kompleks Mahkamah Tinggi Pulau Pinang di sini.

Guan Eng yang juga Ahli Parlimen Bagan turut menegaskan bahawa semua wakil rakyat daripada partinya (DAP) konsisten menyokong Rayer kerana parti masa depan itu senantiasa memperjuangkan pemansuhan Akta Hasutan.

Timbalan Ketua Menteri I, Datuk Mohd. Rashid Hasnon, Datuk Abdul Malik Abul Kassim (Exco Hal Ehwal Agama, Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna), Jagdeep Singh Deo (Exco Perancangan Bandar & Desa dan Perumahan) dan Phee Boon Poh (Exco Kebajikan & Masyarakat Penyayang dan Alam Sekitar) turut hadir untuk memberi sokongan moral kepada Rayer.

Tiga wakil pembelaan lain, Ramkarpal Singh Deo, S. Raveentharan dan V. Parthiben turut hadir di sini.

Pendengaran kes Rayer tersebut sepatutnya dilangsungkan pada 16 Jun lepas, tetapi, kertas pendakwaan didakwa gagal disediakan secara lengkap oleh pejabat Peguam Negara pada hari tersebut.

Pun begitu, Peguam Negara, Tan Sri Abdul Ghani Patail sehari sebelum itu ada dilaporkan mengesahkan bahawa Rayer akan didakwa di Mahkmah Tinggi George Town.

Ketetapan bersejarah tersebut menggamit pelbagai reaksi dalam kalangan khalayak, antaranya, sebutan mana-mana wakil rakyat sama ada di dalam DUN atau Parlimen sepatutnya kebal dari pendakwaan di Mahkamah.

Bagaimanapun, Abdul Ghani tidak pula memberikan ulasan yang jelas mengenai status insiden sekumpulan penyokong UMNO yang bertindak menceroboh DUN Pulau Pinang pada 21 Mei lalu.