KN, JPS dalam perancangan laksana 9 projek mitigasi atasi banjir

GEORGE TOWN – Kerajaan Negeri melalui Jabatan Pengairan dan Saliran Negeri Pulau Pinang (JPS) kini dalam perancangan untuk melaksanakan sembilan projek mitigasi banjir di kawasan yang berkecenderungan seluruh negeri bagi tempoh tiga tahun akan datang.

Exco Kerajaan Tempatan, Pengurusan Lalulintas dan Tebatan Banjir, Chow Kon Yeow berkata, sembilan projek yang dirancang itu akan menggunakan peruntukan khas Kerajaan Negeri berjumlah RM150 juta (daripada keseluruhan RM220 juta) seperti yang dinyatakan oleh Ketua Menteri ketika membentangkan Bajet 2017 pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang barubaru ini.

“RM150 juta diperuntukan oleh Kerajaan Negeri bagi melaksanakan sembilan projek yang dirancang bagi mengatasi masalah banjir di Pulau Pinang.

“Jadi tugas seterusnya, kita (Kerajaan Negeri dan JPS) akan melihat (proses) pelaksanaannya bermula dengan lantikan juru perunding, reka bentuk terperinci, menyediakan dokumen-dokumen kontrak, menjalankan tender dan kemudiannya membuat lantikan.

“Proses ini adalah proses lazim dan ia akan mengambil masa beberapa bulan dan dijangka kerjakerja akan dilaksanakan menjelang Januari 2018,” katanya pada sidang media di sini baru-baru ini.

Turut sama, Pengarah JPS Negeri, Ir. Sabri Abdul Mulok dan Timbalannya, S. Ratna Rajah. Menurut Kon Yeow, beliau amat berharap dengan pelaksanaan projek-projek mitigasi berkaitan, kawasan yang berkecenderungan (hotspot) banjir dapat dikurangkan.

“Masa kini terdapat 45 hotspot banjir bagi seluruh negeri Pulau Pinang dan diharap dengan pelaksanaan semua projek ini, bilangan hotspot banjir dapat dikurangkan dalam tempoh tiga tahun akan datang.

“Di Seberang Perai Tengah (SPT) sahaja terdapat enam hotspot utama termasuk satu di Seberang Perai Utara (SPU) dan Barat Daya (2)…dan pelaksanaan satu projek sahaja mampu mengatasi masalah banjir di beberapa hotspot seluruh negeri bergantung kepada kapasiti sesuatu projek,” ujarnya yang turut teruja untuk melihat perubahan yang bakal dialami setelah pelaksanaan projek-projek mitigasi banjir kelak.

Dalam perkembangan sama, Sabri memberitahu, Kerajaan Persekutuan turut memperuntukkan RM150 juta bagi meneruskan Projek Rancangan Tebatan Banjir (RTB) Sungai Pinang Fasa III.

“Bagi Sungai Pinang, peruntukan RM150 juta daripada Kerajaan Persekutuan akan melibatkan aktivitiaktiviti seperti lantikan juru perunding bagi melaksanakan reka bentuk terperinci, kerjakerja pengukuran dan kajian tanah untuk tahun 2017.

“Dan kita (JPS) jangkakan panggilan tender akan dibuat pada suku akhir tahun 2017 dan kerja-kerja di tapak projek akan dilaksanakan menjelang suku tahun pertama 2018 serta mengambil masa dua tahun setengah,” ujar beliau.

Turut diumumkan, penubuhan dua jawatankuasa khas yang ditugaskan bagi memantau kelancaran projek-projek mitigasi dan tebatan banjir, iaitu Jawatankuasa Teknikal yang dipengerusikan oleh Sabri dan Jawatankuasa Pemandu, Kon Yeow