Kajian 2 tahun, cari solusi urus pengairan harungi kemarau panjang – Exco

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB

PINANG TUNGGAL – Kajian lapangan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Peringkat Persekutuan serta Negeri selama dua tahun sehingga 2018 pada keadaan tahap bekalan air sungai tertentu di Pulau Pinang adalah berdasarkan pengalaman mengharungi musim kemarau panjang El Nino pada 2014 dan 2016.

Exco Pertanian & Industri Asas Tani, Pembangunan Desa dan Kesihatan, Dr. Afif Bahardin berkata demikian pada Majlis Kesyukuran Sempena Program Penjadualan Semula Air Untuk Tanaman Padi Bagi Negeri Pulau Pinang 2016.

“Kajian ini adalah untuk tengok balik kesan daripada kemarau panjang, khususnya Super El Nino selama hampir tujuh bulan sejak awal tahun 2016.

“Kajian ini akan melibatkan beberapa agensi, duduk berbincang, bagaimana sistem pengairan kita masih boleh berfungsi dengan baik, walaupun mungkin berdepan risiko kemarau panjang lagi kelak,” jelasnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seberang Jaya di Rumah Pam JPS Bumbung Lima di sini baru-baru ini.

Hadir sama, Timbalan Pengarah Jabatan Pertanian Negeri, Shahbani Ismail; Jurutera JPS Daerah Seberang Perai Utara (SPU) Saiful Rizal Sanusi; Penolong Pengarah (Pertanian & Industri Asas Tani, Pembangunan Desa dan Kesihatan) Bahagian Perancang Ekonomi Negeri (BPEN), Muhammad Fariz Osman dan Pengetua Institut Pertanian, Rozita Abdul Hamid.

Demi membantu golongan pesawah, Afif memberitahu bahawa Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) akan menyediakan 40 unit pam air untuk membantu proses pengairan ke petak sawah, jika Pulau Pinang mengharungi sekali lagi musim kemarau panjang pada tahun ini (2017).

Beliau dalam pada itu turut merakamkan penghargaan kepada Jabatan Pertanian Negeri dan semua pesawah yang saling bekerjasama, dalam menjayakan pelan penjadualan bekalan air ke sawah dari tiga jadual kepada lima jadual pada musim Super El Nino tahun lalu.

Difahamkan, Kerajaan Negeri mengambil langkah menangguhkan sementara aktiviti pengairan serta menyusun semula pengairan mengikut jadual, demi memastikan tiada catuan air yang diperlukan oleh 1.6 juta penduduk di Pulau Pinang dalam mengharungi Super El Nino lepas.

Pada majlis sama, Shahbani ketika berucap menyatakan, aktiviti penanaman padi masih dua kali setahun pada kali ini, sungguhpun waktu menuai kali kedua dijadualkan pada awal tahun hadapan.} else {