KN sedia ambil alih Tanjung City Marina

GEORGE TOWN – Kerajaan Negeri bersedia mengambilalih pengurusan Tanjung City Marina untuk mengelakkannya daripada terus terbiar.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng berkata, pengurusan Tanjung City Marina bernilai RM43 juta tersebut adalah di bawah Penang Port Sdn. Bhd. (PPSB).

“Kerajaan Negeri rela menerima Tanjung City Marina sekiranya pihak terbabit sedia menyerahkannya.

“Sekiranya mereka (PPSB) tak tau atau tak boleh uruskan dengan baik dan nak serah kepada Kerajaan Negeri, kita rela terima.

“Ini (Tanjung City Marina) bagi pada kita (Kerajaan Negeri), kita (Kerajaan Negeri) boleh uruskan, mungkin mereka (PPSB) tak perlu habis and bazir wang lagi lah,’’ katanya ketika membuat tinjauan khas di sini baru-baru ini.

Turut hadir, Exco Kerja Raya, Utiliti (Tenaga, Air, Telekom) dan Pengangkutan (Udara, Laut & Keretapi), Lim Hock Seng.

Dalam kenyataan Guan Eng sebelum ini, pihak pengurusan PPSB menepiskan tanggungjawab bagi kegagalan projek marina yang mempunyai kapasiti menampung 140 buah kapal layar serta bot dengan 102 kawasan berlabuh berkenaan dengan kenyataan akhbar menyatakan bahawa prasarana pelabuhan yang direka dan dibina Suruhanjaya Pelabuhan Pulau Pinang atau Penang Port Commission (PPC) telah rosak akibat kecacatan reka bentuk.

Untuk mengatasi kecacatan reka bentuk, PPSB menyatakan bahawa RM10 juta diperlukan untuk kerja pembaikan. PPSB menambah bahawa Pengerusi PPC terdahulu, Tan Cheng Liang telah berjanji untuk menyediakan RM10 juta untuk kerja pembaikan, tetapi sampai sekarang janji tidak ditepati.

Dalam pada itu, hasil tinjauan yang dibuat mendapati hanya sebuah restoran yang beroperasi manakala rumah kelab telah ditutup dan lokasi berlabuh kapal layar dihanyutkan serta tenggelam.

Dahulunya, kawasan tarikan pelancong milik PPC yang siap dibina pada 2006 dan memulakan operasi pada 2007 tersebut menempatkan rumah kelab, restoran dan lokasi berlabuh kapal layar mewah.

Tambah Guan Eng, sekiranya diserahkan, Kerajaan Negeri akan menjalankan tender terbuka bagi mengenal pasti operator terbaik.

KEADAAN Tanjung City Marina yang tidak terurus.
KEADAAN Tanjung City Marina yang tidak terurus.