KN : Selamat berangkat ke Tanah Suci, bawa imej umat Islam hakiki

Admin

Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI

BATU MAUNG – Seramai 72 tetamu Allah bagi tahun 1432H telah diraikan dalam satu majlis yang diadakan di Masjid Kampung Binjai di sini baru-baru ini.

Majlis Saguhati kepada Bakal Haji 2011 dan Tahlil itu adalah anjuran Ahli Dewan Undangan Negeri kawasan Batu Maung, Abdul Malik Abul Kassim yang juga Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Kerajaan Negeri Pulau Pinang. Menurut Abdul Malik, majlis seumpama ini telah diadakan empat tahun berturut-turut.

Alhamdulillah, saya bagi pihak Kerajaan Negeri akan mendoakan para tetamu Allah supaya dipermudahkan segala urusan dan peroleh haji mabrur,” ujar Abdul Malik.

Tambah beliau lagi, bagi pihak Kerajaan Negeri, beliau turut menyampaikan ucapan selamat tinggal dan selamat berangkat ke Tanah Suci serta menyarankan agar para jemaah dapat menjaga kesihatan dan keselamatan ketika berada di Tanah Suci kelak.

Beliau juga menyeru agar para jemaah membawa imej umat Islam yang hakiki agar menjadi cerminan keindahan Islam bukan sahaja di Pulau Pinang malah di mata dunia.

Sekurang-kurangnya, sumbangan yang tidak seberapa ini dapat membantu para jemaah haji sedikit sebanyak dalam segala urusan,” tambah beliau yang telah menyampaikan sumbangan wang ringgit, senaskhah al-Quran dan sejadah kepada setiap jemaah di sini baru-baru ini.

Salah seorang bakal jemaah haji yang ditemui berkata, beliau sangat terharu dengan sumbangan yang diberikan oleh Kerajaan Negeri dan ADUN kawasan Batu Maung serta melahirkan rasa terima kasih yang tidak terhingga.

Tahun lepas akak dapat juga sumbangan ni, tapi tak tahu mana silapnya, penerbangan tak ada nama akak,” ujar Sa’adiah Ahmad, 57.

Selain itu, Fazidah Musa, 41, berasa sangat bersyukur kerana suami beliau, Anuar Musa, 48 berserta ibunya, Kalsom Yahya, 63, bakal menunaikan rukun Islam yang kelima bersama.

Alhamdulillah, walaupun mulanya suami dan ibu saja yang dapat panggilan, rayuan untuk saya turut serta tahun ini terjawab,” ujarnya.

Hadir sama dalam majlis tersebut Pengerusi JKKK Permatang Damar Laut, Yaacob Md. Noor dan Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Komuniti (JKKK) Batu Maung, Yusoff Osman.