KN setuju permohonan kebenaran merancang Kg. Manggis oleh Pusat

Oleh: ZAINULFAQAR YAACOB

GEORGE TOWN – Pengecualian Kerajaan Pusat untuk mengemukakan permohonan kebenaran merancang berwajib dipersetujui
Kerajaan Negeri dengan syarat Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng turut dijemput bersama-sama pada majlis perasmian projek berkenaan.

Ini adalah seperti majlis pecah tanah dan majlis penyerahan kunci kepada semua 61 penerima terpilih Rumah Mesra Rakyat (RMR)
Kampung Manggis dekat Permatang Tinggi dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Machang Bubok kelak.

Bagaimanapun, Guan Eng menjelaskan bahawa projek di bawah Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) itu mesti
terlebih dahulu mendapat kelulusan berwajib daripada Jabatan Kerja Raya (JKR), demi keperluan penduduk miskin mangsa banjir
terpilih berkenaan.

“Kita tidak sewenang-wenangnya memberikan pengecualian (permohonan kebenaran merancang) sesuka hati dan sewenangwenangnya… ini projek Kerajaan (Pusat), yang akan diluluskan oleh JKR.

“Ini, hadiah bersama (Kerajaan Pusat dan Kerajaan Negeri) sempena bulan Ramadan,” katanya pada sidang media di sini baru-baru ini.

Turut hadir, Exco Perancangan Bandar & Desa dan Perumahan, Jagdeep Singh Deo dan Wong Hon Wai (Setiausaha Politik bagi Ketua Menteri).

Manakala, Kerajaan Pusat diwakili Pengurus Besar Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB), Datuk Dr. Sr. Kamarul Rashdan Salleh, Wan Mastura Azlina Mohammad (Ketua Pegawai Eksekutif SPNB Mesra Sdn. Bhd.), Datuk Ahmad Zubir Abdul Ghani (Timbalan Ketua Setiausaha KKLW), Shafie Mohd. Jusoh (Setiausaha Bahagian Tanah & Wilayah KKLW) dan Hirman Miraj Mohd. Noor (Ketua Penolong Setiausaha Bahagian Tanah & Wilayah KKLW).

Atas maksud mahu menjayakan projek tersebut bersama-sama Kerajaan Pusat, Guan Eng yang juga Ahli Parlimen Bagan turut mengalu-alukan kunjungan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Mohd.

Shafie Apdal ke negeri ini supaya lebih banyak permohonan projek pemajuan desa daripada Kerajaan Pusat dapat diluluskan kelak.
“Saya berharap kerjasama seperti ini boleh diteruskan, walaupun Kerajaan Pusat dan Kerajaan Negeri mempunyai pendapat yang berbeza kerana ia (kerjasama ini) cukup menguntungkan rakyat Pulau Pinang,’’ ujarnya.

Difahamkan, rancangan pemajuan Pusat berkenaan diluluskan ekoran walkabout Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin ke kawasan tumpuan banjir terbabit pada 17 September 2011.

Dalam mesyuarat penyelarasan Projek Penyusunan Semula Kampung Manggis pada 31 Disember tahun lepas, terdapat beberapa keperluan tidak dapat dipatuhi SPNB sekiranya permohonan kebenaran merancang dikemukakan.

Pada 9 Januari lepas, Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) menerima surat rayuan daripada SPNB supaya projek pemajuan 61 unit rumah satu tingkat kepada mangsa banjir berwajib di atas sebidang berkeluasan 6.002 ekar tersebut diberi pengecualian permohonan kebenaran merancang.

Kawasan pemajuan berwajib terbabit dikenalpasti adalah tanah milik persendirian, di atas lot-lot 17,265 hingga 17,325 Mukim 14,
Daerah Seberang Perai Tengah (SPT).

Difahamkan, permohonan SPNB itu adalah berdasarkan Seksyen 19(1) Akta 172 yang menyebut, “tiada seorang pun, selain pihak berkuasa tempatan, boleh memula, mengusaha atau menjalankan apa-apa pemajuan melainkan jika kebenaran merancang berkenaan pemajuan itu telah diberikan kepadanya di bawah Seksyen 22 atau dilanjutkan di bawah subseksyen 24(3)”.

Pun begitu, Kerajaan Negeri dalam mesyuaratnya pada 26 Mei lepas bersetuju memberi beberapa pengecualian berwajib sebagaimana dimohon oleh Pusat, dengan syarat Ketua Menteri dijemput hadir bersama-sama pada majlis perasmian, seperti majlis pecah tanah serta majlis penyerahan kunci kepada pemilik lot-lot kediaman tersebut.

Perkembangan terbaru itu sekaligus menyerlahkan lagi komitmen Kerajaan Negeri untuk bekerjasama dengan Kerajaan Pusat dalam menambah bilangan rumah mampu milik serta memajukan kawasan desa demi keselesaan hidup rakyat di negeri ini.