KN sokong laksana gaji minima RM1,100

Admin

Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI

GEORGE TOWN – Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng menyatakan bahawa Kerajaan Negeri bawah pimpinannya sudah lama menyokong pelaksanaan gaji minimum RM1,100 berbanding menggajikan pekerja asing dalam sistem kontrak.

Kenyataan tersebut dinyatakan beliau pada Persidangan Perhubungan Industri anjuran Persekutuan Majikan Malaysia (MEF) di sini baru-baru ini.

Guan Eng memberitahu, dengan pelaksanaan sistem tersebut, ia dijangka dapat membantu 14.2 bilion tenaga kerja di samping melindungi sektor Perusahaan Kecil dan Sederhana (SME) serta membantu pertumbuhan ekonomi.

“Dalam kaji selidik oleh firma pengambilan tenaga kerja, Kelly Services, pekerja di Malaysia dilihat hanya 28 peratus sahaja yang komited pada kerja masing-masing berbanding 41 peratus di Indonesia.

“Sebanyak 46 peratus pula merasakan diri mereka betul-betul dinilai oleh majikan berdasarkan prestasi di negara ini, Indonesia (58 peratus) dan China (52 peratus).

“Peratusan-peratusan ini menunjukkan peralihan kerja yang kerap kali berlaku disebabkan upah dan gaji yang terus menjadi faktor utama dalam mengaplikasikan bakat golongan berkenaan,” ucapnya pada majlis tersebut di sini baru-baru ini.

Sepanjang berlangsungnya persidangan tersebut, perkara utama dibincangkan adalah mengenai sistem gaji minima.

Malah, turut dirumuskan Guan Eng adalah kejayaan Kerajaan Negeri sejak tahun 2008 hingga kini dalam menaikkan semula kuasa ekonomi Pulau Pinang melalui pembasmian hutang sebanyak 95 peratus, pencegahan rasuah, bantuan saguhati kepada rakyat, projek membasmi kemiskinan tegar, pembinaan rumah mampu milik, peningkatan aset negeri, tarikan pelabur asing, pelancongan, pembangunan modal insan dan kemahiran, polisi Bersih, Hijau, Sihat dan Selamat, prinsip Cekap, Akauntabel dan Telus (CAT) ke arah mengantarabangsakan negeri ini.

Seminar yang berlangsung selama sehari berkenaan mengumpulkan hampir 200 peserta dari pelbagai institusi yang bernaung di bawah MEF bagi membincangkan isu-isu pekerja seperti sumber manusia, rasuah, gaji minima dan perkara-perkara berkaitan.

Dalam pada itu, Presiden MEF, Tan Sri Azman Shah Haron sempat memuji tadbir urus air negeri yang baik dan kejayaan mengelak pelaksanaan inisiatif catuan air pada musim kering baru-baru ini.