KN tubuh kumpulan kerja gubal Akta Gangguan Seksual – Exco

GEORGE TOWN – Kerajaan Negeri Pulau Pinang telah menubuhkan satu kumpulan kerja untuk menggubal Akta Gangguan Seksual, ujar Exco Pembangunan Wanita, Keluarga, Keterangkuman Gender dan Agama Selain Islam, Chong Eng.

Chong Eng berkata, untuk tujuan tersebut satu perbincangan meja bulat akan diadakan bulan depan bagi membincangkan mengenai isu-isu gangguan seksual dan merumuskan cadangan serta rancangan yang sewajarnya untuk menangani isu berkaitan.

Banyak perlu dilakukan terutamanya membabitkan undang-undang yang perlu digubal secara khusus dan menentukan definisi perbuatan gangguan seksual untuk melindungi mangsa yang telah lama mengalami pelanggaran seksual terhadap kebebasan peribadi, sindiran atau penyalahgunaan.

YB Hannah Yeoh yang juga Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat akan dijemput sama di dalam perbincangan ini,” ujarnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Lalang.

Hadir sama Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Pembangunan Wanita Pulau Pinang (PWDC), Ong Bee Leng dan Pengurus Program Pemberdayaan Ekonomi Wanita PDWC, Susan Chong.

CHONG Eng dan Ong Bee Leng menunjukkan peti khas yang diletakkan untuk mangsa gangguan seksual meluahkan perasaan mereka tanpa perlu mendedahkan identiti sebenar mangsa.

Mengikut perangkaan, sebanyak 70 hingga 90 peratus daripada kes gangguan seksual di negara ini tidak dilaporkan oleh pemangsa.

Mengulas lanjut, Chong Eng yang juga Pengerusi PWDC berkata, kempen Penang Goes Orange (PGO) yang diangkat Kerajaan Negeri merupakan satu pergerakan antarabangsa untuk menghapuskan keganasan terhadap golongan wanita.

Katanya, kempen tersebut akan berlangsung selama 16 hari dan dijangka berakhir 10 Disember depan.

Ini merupakan signifikan bahawa wanita juga manusia, mereka mempunyai hak asasi sama seperti lelaki.

Tetapi, masyarakat perlu mengetahui bahawa gangguan seksual ini bukan hanya tertumpu kepada golongan wanita sahaja, tetapi kaum lelaki juga tidak terkecuali untuk diambil kesempatan.

Justeru, lelaki mahupun perempuan perlu ambil peduli tentang apakah itu perlakuan yang membawa kepada gangguan seksual kerana ada juga mangsa yang tidak sedar sebenarnya mereka telah diganggu dengan gangguan tidak bermoral itu.

Semua pihak perlulah memainkan peranan supaya mengurangkan kes gangguan seksual dan mangsa terlibat perlulah berani untuk tampil ke hadapan supaya kebenaran dapat ditegakkan,” ujarnya.