KN, WWF anjur Earth Hour 29 Mac

GEORGE TOWN – Kempen kesedaran Earth Hour 2014 di Pulau Pinang pada 29 Mac depan dijangka lebih meriah dengan aktiviti berjalan kaki sejauh 3.5 kilometer di sekitar George Town Tapak Warisan Dunia UNESCO serta ikrar menanam 60 lagi pokok daripada empat spesis terancam mulai sekarang.

Exco Kerajaan Tempatan, Pengerusan Lalulintas dan Tebatan Banjir, Chow Kon Yeow berkata, ilham penganjur iaitu sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO), World Wide Fund for Nature (WWF) Malaysia itu disambut baik kerana Kerajaan Negeri komited dengan kempen memulihara alam sekitar sejak tahun 2008 lagi.

“Titik permulaan di Jalan Padang Kota Lama, melalui Lebuh Light, Lebuh Farquhar, Lebuh Leith, Lebuh Chulia dan Lebuh Pantai, sebelum kembali sekali lagi ke Lebuh Light dan berakhir di Jalan Padang Kota Lama di sini,” ujarnya pada majlis sidang media pengumuman penganjuran Earth Hour 2014 di sini baru-baru ini.

Menurut beliau, Kerajaan Negeri melalui Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) akan menanam 60 pokok daripada empat jenis spesies terancam, iaitu Scaphula A n i s o p t e r a , C r a t o x y l u m S o c h i n c h i n e n s e , F i r m i a n a Malayana dan Fagrea Auriculata di Queensbay dekat Pantai Jerejak sebagai menyokong kempen Earth Hour 2014.

Justeru, katanya lagi, diharap 60 bangunan komersial sekitar pulau dapat menyokong kempen nilai tersebut dengan memadamkan lampu yang tidak diperlukan selama sejam bermula 8.30 malam pada 29 Mac depan.

Sebelum itu, Pengarah Pemuliharaan WWF Malaysia, Dr. Sundari Ramakrishna melahirkan penghargaan atas partisipasi yang ditunjukkan oleh Kerajaan Negeri.

“Ini adalah kali pertama kami bekerjasama dengan Kerajaan Negeri Pulau Pinang untuk mengajak beribu-ribu orang di negeri ini untuk mengambil bahagian dalam Earth Hour 2014,” katanya.

Earth Hour adalah satu inisiatif global alam sekitar yang bermula pada 2007 di Sydney, Australia dengan penyertaan 2.2 juta individu serta lebih 2,000 perniagaan memadamkan lampu mereka selama satu jam dari jam 8.30 malam sebagai mengambil bahagian terhadap perubahan iklim global.