Kod promosi Penang2030, konsultasi klinik atas talian DoctorOnCall percuma 

Admin

GEORGE TOWN – DoctorOnCall ialah klinik perkhidmatan atas talian yang menawarkan perkhidmatan konsultasi doktor bertauliah mengenai penyakit-penyakit lazim seperti batuk, selsema, demam dan sebagainya, serta khidmat penghantaran ubat langsung kepada pengguna.

Mengulas lanjut, Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata, kerjasama strategik antara Kerajaan Negeri dan firma berkaitan adalah selari dengan wawasan Penang2030 yang memberi fokus kepada meningkatkan daya huni serta kualiti hidup rakyat termasuk golongan isi rumah berpendapatan 40 peratus paling rendah (B40) dalam mendapatkan akses perkhidmatan kesihatan berkualiti.

“Maka, amat jelas bahawa perkhidmatan kesihatan DoktorOnCall adalah bagi memudahkan pesakit-pesakit mengakses konsultasi daripada doktor dan juga perkhidmatan penghantaran ubat-ubat setelah doktor mendapat makluman tentang keadaan (tahap kesihatan) seseorang yang menggunakan perkhidmatan ini,” jelasnya dalam sidang media promosi perkhidmatan DoktorOnCall di Komtar pada 12 Jun 2019.

Bercakap pada sidang media sama, Exco Pertanian & Industri Asas Tani, Pembangunan Luar Bandar dan Kesihatan, Dr. Afif Bahardin memberitahu bahawa pihak DoctorOnCall menghubungi pihak Kerajaan Negeri demi memperluaskan jaringan perkhidmatan klinik atas talian sebagaimana yang telah dilaksanakan di tiga negeri lain sebelum ini.

“Dengan kod promosi Penang2030, maka promosi (DoctorOnCall) ini dilancarkan untuk seluruh rakyat Pulau Pinang, dan boleh mendapatkan konsultasi daripada doktor perubatan secara percuma dan seterusnya memberi ubat-ubatan dengan kadar (harga) yang rendah.

“Maksud memberi ubatan ini adalah DoctorOnCall sendiri telah mengatur kerjasama dengan beberapa rangkaian farmasi yang mana mereka ini akan menghantar ubat-ubatan diperlukan oleh pesakit selepas mendapatkan konsultasi doktor.

“(DoctorOnCall) ini akan menambah lagi rangkaian capaian perkhidmatan kesihatan untuk seluruh rakyat Pulau Pinang,” ujarnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seberang Jaya.

Pada sidang media sama, Kon Yeow bersama-sama Afif turut membuat demontrasi menghubungi seorang doktor bertauliah yang berdaftar dengan Majlis Perubatan Malaysia, menerusi portal www.DoctorOnCall.com.my.

Hampir semua Exco Kerajaan Negeri Pakatan Harapan Pulau Pinang turut menyaksikan demontrasi ringkas kaedah aplikasi DoctorOnCall.

Difahamkan, menerusi portal itu, pelanggan boleh saling berinteraksi dengan doktor secara panggilan video, panggilan suara atau teks mesej.

Info lanjut, hubungi +60384082000.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB

Gambar : DARWINA MOHD. DAUD

Video : NOOR SITI NABILAH NOORAZIS