Kolaborasi bersama pelbagai pihak atasi masalah kesihatan mental

GEORGE TOWN – Kerajaan Negeri Pulau Pinang menjalinkan kerjasama dengan pelbagai pihak bagi menangani masalah kesihatan mental yang semakin meningkat terutamanya dalam tempoh penularan pandemik COVID-19.

Exco Agroteknologi & Keselamatan Makanan, Pembangunan Luar Bandar dan Kesihatan, Dr. Norlela Ariffin berkata bahawa kesihatan mental akibat pandemik COVID-19 telah memberi kesan kepada masyarakat di negeri ini tanpa mengira peringkat umur.

“Masalah kesihatan mental ini bukan sahaja mengakibatkan gejala gangguan atau penyakit mental tetapi turut mendatangkan kesan kepada kehidupan sosial dan tahap kefungsian individu terlibat.

“Rangkaian kerjasama pelbagai agensi dalam pengandalian masalah psikologi telah lama wujud sama ada agensi kerajaan, swasta, universiti, syarikat korporat, badan-badan bukan kerajaan (NGO) serta lain-lain agensi.

“Daripada segi kesan psikologi, kemudahan ini  (pengendalian masalah psikologi) telah disediakan di semua fasiliti Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) iaitu Jabatan Kesihatan Negeri (JKNPP), klinik kesihatan dan hospital.

“Selain itu, kemudahan ini juga disediakan Pusat Kesihatan Mental Masyarakat di Klinik Kesihatan Butterworth (MENTARI) yang dikendalikan oleh pakar psikologi, pegawai perubatan, kaunselor dan anggota paramedik.

“Turut disediakan adalah talian helpline bebas tol 24 jam yang dikendalikan oleh Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat selain menggunakan saluran pendidikan melalui pelbagai rangkaian media,” katanya pada sesi soalan lisan dalam Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang Ke-14 dekat Dewan Undangan Negeri di sini pagi tadi.

Tambah Norlela, Kerajaan Negeri turut menjalinkan kerjasama dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO) khususnya melibatkan aspek pendidikan dan bantuan psikososial.

“Rangkaian kerjasama dengan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) melalui Jabatan Psikiatri dan Kesihatan Mental Hospital Pulau Pinang dan Hospital Bukit Mertajam serta Unit Jurupulih Carakerja di kedua-dua hospital berkenaan telah dijalinkan sebelum ini.

“Kerjasama ini adalah untuk mengurangkan kes kebarangkalian bunuh diri yang dilaporkan berlaku antara Januari hingga Mei tahun ini.

“Selain itu, peranan ketua komuniti seperti ketua kampung, pengerusi jawatankuasa penduduk, kelab rukun tetangga dan Majlis Pangurusan Komuniti Kampung (MPKK) juga penting dalam mendepani cabaran pandemik ini,” jelasnya.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau memaklumkan bahawa sebanyak 19 kes cubaan bunuh diri telah dilaporkan di negeri Pulau Pinang di antara Januari hingga Mei tahun ini.

“Malah, NGO Befrienders Penang melaporkan bahawa pihak mereka telah menerima sebanyak 6,202 panggilan sepanjang tempoh pandemik COVID-19 ini.

“Begitu juga dengan D’Home Mental Health Association yang telah menerima peningkatan aduan daripada orang ramai yang memerlukan bantuan psikologi dan sebagainya,” ujarnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Penanti.

Justeru kata Norlela, Kerajaan Negeri bertindak menjalin kolaborasi dengan pelbagai NGO untuk membentuk Gabungan PgCare bagi mempercepatkan lagi penyaluran bantuan kepada rakyat dalam tempoh pandemik.

Antara NGO terlibat adalah D’Home, Befrienders Penang, Pertubuhan Kebajikan Sneham Malaysia (Pulau Pinang), Kelab Kiwanis Pulau Pinang, The Penang Buddhist Tzu Chi Merits Society (Tzu Chi), Junior Chamber International (JCI) Pulau Pinang.

Selain itu, persatuan-persatuan dalam kalangan pemain insudtri di negeri ini seperti Persekutuan Pekilang-Pekilang Malaysia (FMM), Persatuan Industri Semikonduktor Malaysia (MSIA), Persatuan Perusahaan Kecil dan Sederhana (SAMENTA), PERKESO serta golongan profesional turut membentuk gabungan tersebut.

Oleh : SUNARTI YUSOFF

Gambar : DARWINA MOHD. DAUD