Kolaborasi pastikan 420 golongan berisiko dapat dos pertama vaksin

Admin

AIR ITAM – Kolaborasi Pusat Khidmat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Air Itam, Joseph Ng Soon Siang bersama-sama Pejabat Kesihatan Daerah Timur Laut hari ini membolehkan 420 warga emas dan golongan berisiko di kawasan berkenaan mendapat suntikan vaksin yang pertama.

 

Bercakap kepada pemberita, Soon Siang memberitahu bahawa para penerima vaksin berkenaan adalah dari Kampung Melayu, Desa Mawar dan Kampung Pisang yang mempunyai berkepadatan penduduk tinggi.

 

“Pada mulanya, kita cuma diberi 300 dos, namun, saya merakamkan ucapan terima kasih kepada pejabat kesihatan yang tambah lagi 120 dos kepada penduduk serempat melalui kriteria terpilih.


“Kriteria tersebut adalah 50 tahun ke atas dan mempunyai penyakit kronik dan terima kasih juga diucapkan kepada pihak Sekolah Kebangsaan (SK) Sri Aman, Kampung Melayu yang menyediakan kawasan untuk proses suntikan vaksin dijalankan,” ujarnya semasa menyertai Program Mobilisasi Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Outreach Kampung Melayu pada pagi tadi.


Hadir sama, Pegawai Kesihatan Awam Pejabat Kesihatan Daerah Timur Laut, Zul Fadhli Bidin.


Menut Soon Siang lagi, acara kolaborasi tersebut mencapai matlamat apabila Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) setempat dimaklumkan berjaya ‘memujuk’ golongan sasar untuk mendaftar secara jumpa terus.

 

“Kita faham pada mulanya memang mereka ini takut sikit sebab kesan sampingan dan sebagainya namun MPKK berjaya bawa mereka malah saya percaya ada permintaan lagi.

 

“Untuk mereka yang tidak dapat boleh beri nama kepada petugas untuk proses pemberian vaksin tersebut,” katanya lagi.

Sementara itu, Zul Fadhli memberitahu bahawa program seumpama itu merupakan kali keenam diadakan peringkat daerah Timur Laut.


“Kita memang menyasarkan kawasan ‘hotspot’ (penduduk) berkepadatan tinggi kerana kita tahu kawasan seperti ini risiko untuk berlaku jangkitan adalah tinggi,” jelasnya.


Lebih menarik, program mobilisasi vaksin di sini turut menggunakan Bas Rapid sebagai bilik suntikan.

 

 


Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI

Gambar : LAW SUUN TING