PADANG LALANG– Projek pembinaan kolam renang bertaraf Olimpik di Jalan Betek kini mencapai 43 peratus kemajuan dan dijangka siap sepenuhnya pada April tahun hadapan.
Exco Belia, Sukan dan Kesihatan Daniel Gooi Zi Sen berkata, projek berimpak tinggi itu dibina hasil peruntukan RM3.6 juta daripada Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP).

“Ini merupakan satu kemudahan baharu yang julung kali dibangunkan di Jalan Betek.
“Kita (Kerajaan Negeri) berterima kasih kepada pihak MBSP atas keprihatinan dan sokongan dalam pembangunan semula kawasan ini,” katanya ketika ditemui dalam lawatan tapak ke projek berkenaan pada 25 Julai lalu.
Menurutnya, kolam renang tersebut dibangunkan bukan hanya untuk tujuan rekreasi orang awam, tetapi turut berperanan sebagai pusat pembangunan sukan khususnya dalam acara renang.

“Pulau Pinang telah melahirkan atlet renang yang berjaya ke peringkat kebangsaan dan antarabangsa.
“Justeru, fasiliti ini diharap dapat menjadi batu loncatan bagi pembangunan bakat-bakat baharu,” ujarnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Lalang.
Zi Sen turut menyentuh tentang inisiatif Kementerian Belia dan Sukan (KBS) yang giat melaksanakan program kelas renang percuma bagi mengatasi isu lemas melibatkan kanak-kanak, khususnya di kawasan yang berisiko banjir.
“Kolam renang ini kelak boleh dimanfaatkan untuk tujuan latihan dan kelas renang percuma bagi pelajar, terutama yang tinggal di kawasan rendah,” jelasnya.
Tambahnya lagi, kolam renang yang sedang dibina ini memenuhi piawaian Olimpik walaupun tidak mempunyai kolam terjun (diving pool) dan setakat ini, kerja-kerja pembinaan berjalan mengikut jadual dengan kemajuan satu peratus lebih awal daripada yang dirancang.
“Projek ini bermula sejak 1 Februari lalu dan kita jangka ia dapat dibuka kepada umum menjelang April 2026,” katanya.
Mengenai kadar kemasukan, Zi Sen memberitahu bahawa ia masih dalam pertimbangan, namun harga semasa yang dikenakan bagi kolam renang awam adalah RM3 setiap sesi.
Teks & Gambar: M. DANESWARAN