Kolam Renang Jalan Betek tarik perhatian pengunjung, kemudahan baharu terima pujian

Admin
img 20260702 wa0143

PADANG LALANG – Kolam Renang Jalan Betek yang kembali dibuka kepada orang ramai selepas kerja-kerja naik taraf menerima sambutan menggalakkan apabila pelbagai kemudahan moden serta ciri keselamatan yang dipertingkatkan mendapat maklum balas positif daripada pengunjung.

Kemudahan milik Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) itu mula beroperasi semula pada 1 Julai 2026, dengan kemasukan percuma selama tiga hari sempena pembukaannya.

Tinjauan Buletin Mutiara mendapati rata-rata pengunjung berpuas hati dengan perubahan yang dilakukan, khususnya dari aspek keselesaan, kebersihan dan kemudahan yang lebih lengkap.

Seorang pelajar, SIM ZE WEI berkata, beliau teruja mengunjungi kolam renang tersebut buat kali pertama selepas dinaik taraf.

img 20260702 164956
Sim Ze Wei.

Menurutnya, kemudahan yang lebih selesa serta lokasinya yang berhampiran dengan rumah mendorong beliau untuk kembali aktif dalam sukan renang.

“Sebelum ini saya memang aktif berenang, namun sudah agak lama tidak melakukannya.

“Selepas melihat keadaan kolam yang jauh lebih baik, bersih dan selesa, saya bercadang untuk datang dengan lebih kerap bagi meneruskan hobi ini,” katanya.

Sementara itu, penyelamat kelemasan, NURUL ANIS ABDULLAH berkata, kerja-kerja naik taraf turut melibatkan penambahan pelbagai kemudahan demi keselesaan pengunjung.

img 20260702 wa0134
Nurul Anis Abdullah.

Katanya, antara kemudahan yang disediakan ialah ruang menunggu, bilik persalinan yang lebih luas, tandas termasuk kemudahan mesra orang kurang upaya (OKU), selain loker untuk penyimpanan barangan peribadi dengan bayaran tertentu.

Beliau berkata, selepas tempoh kemasukan percuma tamat, MBSP akan menguatkuasakan peraturan penggunaan kolam dengan lebih tegas, termasuk mewajibkan pengunjung memakai pakaian renang yang sesuai berserta topi renang.

“Pengunjung juga diwajibkan membasahkan badan di pancuran mandi sebelum memasuki kolam bagi memastikan tahap kebersihan air sentiasa terpelihara.

“Kami turut meningkatkan pemantauan keselamatan secara berkala di setiap penjuru kolam bagi mengelakkan sebarang insiden tidak diingini, khususnya yang melibatkan kehilangan nyawa,” katanya.

Menurut beliau lagi, kedalaman kolam kanak-kanak turut dikurangkan daripada 1.2 meter kepada 0.9 meter bagi meningkatkan aspek keselamatan, namun kanak-kanak berusia bawah 12 tahun masih perlu berada di bawah pengawasan orang dewasa.

img 20260702 wa0141img 20260702 wa0142img 20260702 wa0144

Beliau berkata, sambutan orang ramai amat memberangsangkan apabila kira-kira 50 pengunjung hadir menggunakan kemudahan tersebut dalam tempoh dua jam pertama selepas dibuka pada jam 9 pagi.

Bagi memudahkan orang ramai mendapatkan maklumat terkini, MBSP turut giat mempromosikan kemudahan berkenaan menerusi platform Facebook dan TikTok rasminya.

Selain itu, kelas renang persendirian turut dibenarkan dengan syarat tidak mengganggu penggunaan kolam oleh pengunjung lain.

Difahamkan, kadar tiket masuk yang ditetapkan ialah RM4 bagi dewasa, RM2 bagi kanak-kanak dan warga emas, manakala OKU menikmati kemasukan percuma. Bagi bukan warganegara, kadar yang dikenakan ialah RM15 seorang.

MBSP turut memperkenalkan pakej keahlian bulanan pada kadar RM53 bagi dewasa dan RM21.20 bagi kanak-kanak, selain pakej enam bulan berharga RM212 serta pakej tahunan RM371 yang membolehkan penggunaan tanpa had sepanjang tempoh keahlian.

Sementara itu, seorang pesara dari Alor Pongsu, Bagan Serai, MARSHIDA UMAR menyifatkan kemudahan yang disediakan amat memuaskan dan berbaloi dengan kadar bayaran yang dikenakan.

img 20260702 wa0135
Marshida Umar (berbaju merah).

“Saya datang ke sini buat kali pertama kerana sebelum ini tidak mengetahui kewujudan kolam renang ini.

“Biasanya saya ke Alor Setar untuk melakukan senaman air sebagai terapi rawatan saraf.

“Saya dapati kemudahan di sini sangat lengkap, bersih dan selesa, malas lantai kolam juga cantik serta tidak licin.

“Bayaran masuk yang dikenakan sangat berpatutan dan saya pasti akan datang lagi selepas ini,” katanya.

Terdahulu, Kerja-kerja naik taraf Kolam Renang Jalan Betek dilaksanakan oleh MBSP dengan peruntukan berjumlah RM3.76 juta bagi meningkatkan kualiti kemudahan rekreasi awam di kawasan Seberang Perai.

img 20260702 wa0145

Projek tersebut merangkumi pembaikan struktur kolam, penggantian sistem mekanikal dan penapisan air, naik taraf bilik persalinan serta tandas, pembinaan ruang menunggu yang lebih selesa, penyediaan kemudahan mesra OKU, pemasangan loker penyimpanan, selain penambahbaikan aspek keselamatan dan kebersihan.

Kolam renang itu mula dibuka semula kepada orang ramai pada 1 Julai 2026, dengan tawaran kemasukan percuma selama tiga hari sebagai tanda penghargaan kepada orang ramai serta memberi peluang kepada pengunjung menikmati kemudahan yang telah dinaik taraf.

Oleh: SUNARTI YUSOFF

Gambar: ADLEENA RAHAYU AHMAD RADZI