Kolam takungan didalam, wujud taman rekreasi manfaat komuniti

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB  

JAWI – Atas keprihatinan pemaju Tambun Indah Land Berhad (Tambun Indah), kerja-kerja mendalamkan kolam takungan banjir di Taman Linear Bandar Tasek Mutiara siap, selain mewujudkan taman rekreasi mini untuk manfaat komuniti setempat di sini baru-baru ini.

Sambil memuji keprihatinan pemaju, Exco Kerajaan Tempatan, Pengurusan Lalulintas dan Tebatan Banjir, Chow Kon Yeow berharap, projek penarafan yang dilaksanakan menerusi tanggungjawab sosial korporat (CSR) itu mampu mengurangkan risiko banjir kilat di sekitar kawasan tersebut.

“Kita (Kerajaan Negeri) mengucapkan terima kasih kepada Tambun Indah atas keprihatinan dan inisiatif ini, iaitu mengurangkan impak sekiranya berlaku banjir kilat di sekitar kawasan ini,” katanya pada Majlis Perasmian Projek CSR Taman Linear Bandar Tasek Mutiara di sini.

Menurut Kon Yeow, kerja-kerja mendalamkan kolam takungan banjir serta pembinaan semula sistem parit monsun di sini menelan belanja RM1.42 juta.

Difahamkan, kolam takungan banjir seluas 16,375 meter persegi, didalamkan sehingga 2 meter, serta mampu menampung isipadu air sebanyak 32,750 meter kubik pada satu-satu masa berlaku bencana banjir.

Manakala, kos menyediakan bangku rehat, jejak joging dan alat senam terbuka serta kerja-kerja landskap di kawasan taman rekreasi mini tersebut menelan belanja RM480,000, disumbang oleh Pengerusi Tambun Indah, Teh Kiak Seng.

Mengulas lanjut, Kon Yeow memberitahu bahawa, kos keseluruhan projek penarafan dan CSR di Taman Linear itu adalah berjumlah RM1.9 juta.

Dalam perkembangan lain, Kon Yeow turut mengulas mengenai risiko banjir yang pernah dialami penduduk di Taman Puteri Gunung di sini.

“Saya masih menunggu satu lagi keputusan yang sedang dibuat, iaitu di (Taman) Puteri Gunung, di mana kawasan banjir yang perlu didalamkan, tetapi kita (Kerajaan Negeri) menghadapi pencerobohan tanah atas rizab yang perlu diambil tindakan oleh Pejabat Daerah (Dan Tanah, Seberang Perai Selatan).

“Saya berharap jurutera MPSP pun dapat memantau,” ujarnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Kota. Sebelum itu, Yang di-Pertua Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP), Dato’ Maimunah Mohd. Sharif memberitahu, Bandar Tasek Mutiara khususnya di Taman Linear pernah mengalami kejadian banjir kilat yang teruk pada 28 November 2013. ADUN Jawi, Soon Lip Chee, Dato’ Mansor Othman (Ahli Parlimen Nibong Tebal) serta dua Ahli Majlis MPSP, Jason H’ng Mooi Lye dan Heng Yeh Shiaun antara pemimpin negeri yang hadir pada majlis itu.

Masing-masing menyempurnakan acara penanaman pokok teduh, sebagai gimik pembukaan semula kawasan tersebut untuk manfaat komuniti setempat.

} else {