Pekan Lama Butterworth bakal ‘diremajakan’

BUTTERWORTH – Pekan Lama Butterworth yang mempunyai nilai warisan tersendiri merupakan antara empat lokasi yang akan ‘diremajakan’ oleh Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) dalam tempoh lima tahun akan datang.

Menurut Yang di-Pertua MPSP, Dato’ Maimunah Mohd. Sharif, rancangan pembangunan di bawah Program Butterworth Baharu itu akan direalisasikan bersama-sama Think City Sdn. Bhd. (ThinkCity).

“Sepertimana dibuat di peringkat (bandar raya) George Town, ThinkCity juga memberikan geran untuk kerja-kerja pemuliharaan semula beberapa kawasan Butterworth.

“Empat program yang akan kita fokus (untuk kerja-kerja pemuliharaan) iaitu Pekan Lama, Penang Sentral, Butterworth Waterfront dan Sungai Perai,” jelasnya pada Majlis Pemeteraian Perjanjian Persefahaman (MoU) Antara MPSP dan ThinkCity Dalam Meremajakan Butterworth di sini baru-baru ini.

MOU ditandatangani Maimunah dan Pengarah Eksekutif ThinkCity, Hamdan Abdul Majeed itu turut disaksikan oleh Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng.

Turut serta, Timbalan Ketua Menteri I, Dato’ Mohd. Rashid Hasnon, Prof. Dr. P. Ramasamy (Timbalan Ketua Menteri II), Chow Kon Yeow (Exco Kerajaan Tempatan, Pengurusan Lalulintas dan Tebatan Banjir), Dato’ Abdul Malik Abul Kassim (Exco Hal Ehwal Agama, Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna) serta Sr. Rozali Mohamud (Setiausaha Perbandaran bagi MPSP).

Difahamkan, sejak 2011, MPSP telah bekerjasama dengan ThinkCity untuk tujuan berkaitan serta mengembalikan semula kegemilangan kawasan-kawasan pelancongan warisan berwajib.

Kedua-dua pihak bekerjasama melakukan kajian lapangan dan penyelidikan terperinci mengenai potensi Butterworth dalam tempoh dua tahun, sejak 2014. Pada tahun lalu sahaja, sebanyak 12 aktiviti dilakukan oleh MPSP bersama-sama ThinkCity.

Antaranya, baseline survey & study of Downtown Butterworth, 1st International Arts Festival dekat Butterworth di bawah Butterworth Fringe Festival (BFF), Six Seberang Perai Stories, gotong-royong dekat Taman Pantai, Jeti Lama dan Rope Walk Bagan.

Turut diadakan, rundingan awam dengan komuniti Taman Pantai serta kaum peniaga Rope Walk Bagan, penarafan Jalan Jeti Lama, Jalan Pasar dan Jalan Dato’ Haji Ahmad Said, cetakan 12 poskad mengenai Butterworth Quick Guide dengan pemetaan informasi dalam internet (www.Butterworthguide.com), pemetaan masjid-masjid warisan di Seberang Perai, BFF serta Pelan Tindakan Pekan Lama.

“Penganjuran BFF pada tahun 2015 telah menarik 18,000 pengunjung ke kawasan jeti lama.

“Fokus lokasi 2016 dalam Pelan Tindakan Pekan Lama adalah meliputi empat kawasan iaitu Dewan Ria Community Facilities, Jeti Lama Heritage Quarter, Taman Pantai dan Rope Walk Taman Selatan (Bagan),” jelas Maimunah.

Itu, katanya, tidak termasuk RM311,000 yang diberikan oleh beberapa pihak untuk menjalankan aktiviti lain, bersama-sama ThinkCity di Butterworth.

“Keseluruhan jumlah pelaburan bersama ini adalah kira-kira RM2.7 juta,” ujarnya.

Selain diberi mandat meremajakan Butterworth Baharu, ThinkCity adalah agensi yang diberi peranan sama dalam memeriahkan semula nilai pembangunan di Bandaraya George Town, Kuala Lumpur dan Johor Bharu.