Komited cepatkan suntikan dos penggalak

KETUA menteri (tengah) bersama-sama barisan pemimpin Kerajaan Negeri lain semasa acara simbolik penutupan operasi PPV SPICE Arena di sini tadi.

PANTAI JERJAK – Kerajaan Negeri Pakatan Harapan Pulau Pinang hari ini bersama-sama Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang (JKNPP) komited dalam mempercepatkan suntikan dos penggalak demi keselamatan dan kesihatan rakyat Pulau Pinang secara keseluruhan.

KETUA Menteri

Malah, Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata bahawa semua pihak yang terlibat dalam program berkaitan di negeri ini juga perlu terus mencari ikhtiar terbaik bagi memastikan vaksinasi golongan remaja mencapai sasaran ditetapkan.

Beliau yang juga Exco Hal Ehwal Tanah & Ekonomi dan Komunikasi turut memberitahu bahawa cabaran terbaru kini adalah program pemberian suntikan dos penggalak (booster) yang mana secara rasminya telah bermula pada 18 Oktober 2021 berjalan lancar di Pulau Pinang.

“Bersama-sama kita doakan semoga semuanya berjalan lancar dan ia dapat disegerakan prosesnya demi keselamatan kita, orang tersayang dan juga komuniti kita di negeri tercinta ini,” jelasnya semasa mengadakan lawatan ringkas sebagai simbolik penutupan Pusat Pemberian Vaksin (PPV) SPICE Arena di sini dan SP Arena dekat Seberang Jaya pada 31 Oktober 2021.

Hadir sama, Exco Alam Sekitar dan Kebajikan, Phee Boon Poh; Exco Agroteknolgi & Keselamatan Makanan, Pembangunan Luar Bandar dan Kesihatan, Dr. Norlela Ariffin; Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang (JKNPP), Dr. Ma’arof Sudin dan lain-lain jemputan khas.

Selain itu, Kon Yeow juga berharap pematuhan prosedur operasi standard (SOP) terus menjadi keutamaan sungguhpun semua pihak telah lengkap menerima dua dos vaksin.

Dalam pada itu, beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Kota merangkap Ahli Parlimen Tanjong turut merakamkan penghargaan kepada semua petugas yang terlibat dalam pengoperasian di semua PPV negeri ini.

Tidak dilupakan, menurut beliau adalah semua yang terlibat dalam penubuhan dan pengoperasian kira-kira 50 PPV meliputi PPV Awam, PPV Mega, PPV Integrasi, PPV Industri COVID-19 Kerjasama Awam-Swasta (PIKAS), PPV pertubuhan bukan kerajaan (NGO), klinik swasta dan juga hospital swasta.

“Bukan mudah, namun kita berjaya melakukannya! Kita telah berjaya memastikan 1.5 juta rakyat serta penduduk Pulau Pinang lengkap divaksinasi, syabas kepada semua,” tegasnya.

Difahamkan, bermula pada 15 Oktober 2021, pengoperasian pengurusan vaksinasi COVID-19 beralih tangan daripada Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) kepada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dengan hanya 10 PPV awam sahaja beroperasi bagi menjayakan Program Imunisasi COVID-19 Remaja atau singkatnya PICK-Remaja.

Mengulas lanjut, Kon Yeow menyatakan bahawa pada hari ini, iaitu 31 Oktober 2021, kesemua 10 PPV tersebut akan ditutup operasinya.

Tambah Kon Yeow, janji temu suntikan dos penggalak telah mula diberikan kepada mereka yang layak menerusi aplikasi MySejahtera, yang mana melibatkan 46 klinik swasta serta lapan hospital swasta.

Sehingga kini, kata beliau, senarai pecahan mengikut daerah adalah seperti berikut:~

• Daerah Timur Laut melibatkan 18 klinik swasta dan enam hospital swasta;

• Daerah Barat Daya melibatkan lapan klinik swasta dan sebuah hospital swasta;

• Daerah Seberang Perai Utara melibatkan enam klinik swasta;

• Daerah Seberang Perai Tengah melibatkan sembilan klinik swasta dan sebuah hospital swasta;

• Daerah Seberang Perai Selatan melibatkan lima klinik swasta

“Keutamaan adalah diberikan kepada barisan hadapan kesihatan serta kumpulan berisiko iaitu warga emas berusia 60 tahun dan ke atas.

“Malah, Kerajaan Negeri atas usaha bersama JKNPP komited dalam mempercepatkan suntikan dos penggalak, dan pemantauan rapi terhadap keberkesanan dos penggalak yang dilaksanakan bagi memastikan tidak berlakunya laporan kes terutamanya membabitkan kemasukan ke hospital secara mendadak berbanding kini,” ulasnya.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : MUHAMAD AMIR IRSYAD OMAR & CHAN KOK KUAN
Video : ADLEENA RAHAYU AHMAD RADZI & LAW SUUN TING