GEORGE TOWN – Kerajaan Negeri terus komited memastikan agenda penyediaan perumahan berkualiti, selesa dan mampu milik untuk rakyat direalisasikan, selari dengan aspirasi Visi Penang2030.
Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata bahawa Kerajaan Negeri telah menetapkan sasaran untuk menyediakan 230,000 unit pelbagai jenis rumah di seluruh Pulau Pinang menjelang tahun 2030, dengan sebahagian besarnya terdiri daripada rumah mampu milik.
“Kita akan terus bekerjasama dengan semua pihak berkepentingan bagi memastikan sasaran ini dapat dicapai, dan daripada jumlah yang disasarkan, sebanyak 170,706 unit, bersamaan 77.35 peratus telah dicapai.
“Di samping itu, bagi skim sewa beli atau Rent-To-Own (RTO), sebanyak 5,096 unit telah direalisasikan daripada sasaran 22,000 unit,” ucapnya pada Majlis Penyerahan Kunci Rumah Mutiaraku (RMKU) Jenic C Projek Ideal Venice Residency di sini sebentar tadi.
Hadir sama, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming; Exco Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar & Desa, Jason H’ng Mooi Lye; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seri Delima, Connie Tan Hooi Peng; Ahli Parlimen Bukit Gelugor, Ramkarpal Singh; Pengurus Besar Lembaga Perumahan Negeri Pulau Pinang (LPNPP), Khairulnizam Hashim dan Pengerusi Eksekutif Ideal Property Group, Tan Sri Alex Ooi.
Seramai 20 pembeli secara simbolik telah menerima kunci kediaman masing-masing dalam majlis sama.
Tambah Kon Yeow, kejayaan pelaksanaan Ideal Venice Residency mencerminkan komitmen bersama antara Kerajaan Persekutuan, Kerajaan Negeri, agensi pelaksana serta pihak pemaju dalam merealisasikan agenda perumahan negara.
“Kerjasama erat antara Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Jabatan Perumahan Negara, PR1MA, LPNPP dan pemaju tempatan amat penting bagi memastikan aspirasi perumahan mampu milik dapat dicapai dalam tempoh yang ditetapkan,” jelasnya yang juga Exco Kewangan, Pembangunan Ekonomi & Tanah dan Komunikasi.
Dalam pada itu, Kon Yeow merakamkan ucapan tahniah kepada para pembeli yang menerima kunci rumah masing-masing dan berharap projek tersebut dapat menjadi kediaman yang selesa serta selamat untuk didiami.
“Tahniah kepada semua pembeli yang berjaya merealisasikan impian memiliki sebuah rumah, ini adalah sebahagian daripada usaha berterusan Kerajaan Negeri untuk memastikan kesejahteraan rakyat terus terbela,” ulasnya lanjut.
Sementara itu, Kor Ming menyatakan bahawa selepas menerima jawatan Menteri di KPKT, terdapat 34 projek Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA) dikasifikasikan sebagai ‘projek sakit’.
“Waktu saya ambil (jawatan) ada 34 ‘projek sakit’, tetapi menjelang Hari Raya tahun ini, 34 projek PR1MA siap 100 peratus.
“CCC (Sijil Perakuan Siap dan Pematuhan) diambil, kunci diserah tidak ada lagi projek sakit dan kita boleh mulakan tahun 2026 dengan cemerlang,” maklumnya yang merupakan Ahli Parlimen Teluk Intan, Perak.
Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI
Gambar : ALISSALA THIAN
Video : ADLEENA RAHAYU AHMAD RADZI